Cari @ Amanz

Kita sedia maklum, Oppo telah mengemaskini penawaran peranti mereka di bawah siri Reno dengan memperkenalkan generasi terbaru iaitu Oppo Reno5. Ia sebelum ini telah dilancarkan di China terlebih dahulu. Kemudiannya, disahkan hadir secara rasmi ke pasaran tempatan pada 18 Januari 2021.

Bagaimanapun, kami di Amanz telah berpeluang awal untuk melihat dengan lebih dekat mengenai penawaran peranti ini terutamanya dari segi rekaan. Jadi, kami akan kongsikan mengenainya dengan lebih lanjut menerusi artikel ini. Namun begitu, artikel ini hanya akan menyentuh mengenai rekaan sahaja tanpa memberi penjelasan lebih lanjut berkaitan spesifikasi khusus. Ia berikutan, butiran penuh mengenainya akan diumumkan lebih menyeluruh pada masa akan datang.

Seperti yang dapat dilihat, unit Oppo Reno5 dalam artikel ini merupakan versi standard (bukan pro). Model ini bakal hadir dengan dua pilihan warna iaitu Starry Black – yang mana panel belakangnya dihiasi kemasan warna hitam secara menyeluruh. Kemudian, satu lagi adalah Galactic Silver – seperti unit yang kami terima dalam artikel ini. Ia dikatakan memiliki kelebihan istimewa yang menggunakan proses ‘Diamond Spectrum‘ untuk membuatkan panel belakang matte ini menjadi kemasan berkilauan. Lebih menariknya lagi, kemasan pada panel belakang ini juga dilihat boleh menghasilkan pantulan warna berbeza yang cukup cantik mengikut sudut pandangan pengguna.

Turut kelihatan, panel belakangnya terdapat modul kamera berbentuk segi empat tepat yang diletakkan pada bahagian sisi peranti. Melaluinya juga, kita boleh lihat adanya tiga bonggol kamera berbeza untuk setiap satu lensa. Ianya disusun secara menegak. Sementara, satu lagi lensa tambahan pula ditempatkan secara bersebelahan dan kelihatan rata sahaja. Seterusnya, terdapat juga penjenamaan Oppo pada panel belakang ini yang ditempatkan pada bahagian bawah. Jika diteliti dengan baik, panel belakangnya ini dilihat begitu mirip dengan Oppo Reno4 sebelum ini. Cuma bezanya, lensa tambahan kali ini kelihatan sedikit lebih besar.

Bergerak ke bahagian sisi, butang kuasa diletakkan pada sisi kanan. Turut dapat dilihat, butang ini hadir dengan kemasan yang baik bersama hiasan warna hijau – yang mana boleh dikatakan menjadi kebiasannya untuk peranti di bawah siri Reno. Kemudian, talam SIM dan butang laras suara pula boleh ditemui pada sisi bertentangan. Tiada sebarang butang atau port sambungan yang terdapat pada sisi atas, sebaliknya ia hanya menyertakan sebuah lubang untuk mikrofon. Akhir sekali, anda juga boleh temui port sambungan USB-C pada bahagian bawah yang diletakkan bersama-sama bicu audio 3.5mm, lubang mikrofon dan pembesar suara.

Seterusnya, panel hadapan yang digunakan pula adalah jenis berlubang. Tetapi, Oppo dilihat membuat sedikit perubahan dengan tidak lagi menyertakan sokongan dwi-kamera swafoto seperti Oppo Reno4 versi standard. Sebaliknya, Oppo hanya menyertakan sokongan lensa swafoto tunggal pada Oppo Reno5. Kami boleh katakan, peranti ini mempunyai binaan yang baik. Ianya sangat selesa untuk dipegang, seterusnya juga terasa cukup kukuh di tangan. Tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai binaan bezelnya – ia kelihatan nipis pada bahagian atas dan sisi. Namun, masih mempunyai dagu pada bahagian bawah. Ia bagaimanapun, baik-baik sahaja dan tidak terlalu tebal.

Sekian sahaja sedikit sebanyak perkongsian kami mengenai rekaannya. Buat masa ini, tiada sebarang butiran lanjut mengenai penawaran harga peranti untuk pasaran tempatan. Segala persoalan ini bakal terjawab pada pelancaran rasmi kelak. Seperti biasa, setia dengan kami dengan Amanz untuk kemaskini lebih lanjut.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd