Biasanya pembelian peranti di atas talian, pengguna tidak boleh mengubah spesifikasi. Sebaliknya boleh memilih variasi yang telah ditawarkan sahaja. Kemampuan kustomasi spesifikasi ini biasanya ditawarkan oleh syarikat yang menjual komputer riba, contohnya Dell atau Apple. Tetapi di India, jenama Lava telah memperkenalkan myZ – iaitu model telefon pintar yang pengguna sendiri tetapkan spesifikasi sebelum membeli.
MyZ adalah sebuah peranti asas sahaja, ia dijana dengan cip pemprosesan (tidak boleh tukar) MediaTek G35. Ia hadir dengan skrin 6.5-inch HD+ IPS LCD display, dan bateri 5,000mAh. Kamera, RAM, storan dan warna sahaja boleh diubah oleh pengguna. Jika pengguna pilih 2GB RAM, peranti yang diterima adalah versi Android 10 Go Edition, manakala RAM yang tinggi akan menjalankan Android 10 biasa.
Harga jualan adalah INR 6,999 untuk variasi paling rendah dan mencapai sehingga INR 10,699, iaitu sekitar RM386-RM590. Pada hemat kami, ia sebenarnya lebih kepada beberapa peranti yang sama yang sudah siap di pasang dan ditawarkan dengan pilihan seakan pengguna yang tetapkan spesifikasi. Apa-apa pun, ini adalah langkah yang menarik.