Siri Komputer Riba LG Gram Dikemaskini Dengan Intel Tiger Lake Dan Paparan 16:10
LG

Siri Komputer Riba LG Gram Dikemaskini Dengan Intel Tiger Lake Dan Paparan 16:10

Diterbitkan pada Jan 8, 2021 oleh .

LG ialah syarikat teknologi dari Korea Selatan yang terkenal untuk siri televisyen beresolusi tinggi mereka dan juga peranti-peranti pintar yang hadir dengan rekaan dan ciri-ciri yang unik.

Bagi mereka yang tidak tahu, mereka juga mempunyai siri komputer riba yang cukup popular di pasaran-pasaran terpilih, iaitu LG Gram. Bersempena dengan acara CES 2021 yang bakal berlangsung pada minggu hadapan, LG dilihat telah mengemaskini siri komputer riba tersebut dengan spesifikasi dan juga rekaan baru.

Ini termasuklah LG Gram 17, LG Gram 16, LG Gram 14, bersama-sama dengan LG Gram 16 dan Gram 14 2-dalam-1. Kelima-lima model komputer riba ini hadir dengan paparan dengan nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi.

LG Gram 17 dan Gram 17 hadir dengan paparan dengan resolusi 2560×1600, manakala LG Gram 14 mempunyai resolusi 1920×1200. Bagi mereka yang mementingkan kejituan warna, kesemua paparan LG Gram ini menggunakan panel IPS dan hadir dengan sokongan gamut warna DCI-P3 setinggi 99 peratus.

Dari segi spesifikasi dalaman, LG Gram dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel Tiger Lake, memori DDR4 sehingga 16GB dan dua storan SSD NVMe PCIe. Dari segi grafik pula, komputer-komputer riba ini menggunakan cip grafik Intel Iris Xe yang terbina.

Apa yang membuatkan LG Gram ini unik ialah berat peranti-perantinya. Misalnya LG Gram 17 yang mempunyai berat 1.3kg sahaja, walaupun ia mempunyai paparan bersaiz 17 inci yang cukup besar sekali.

Dengan penggunaan cip pemprosesan Intel yang terbaru ini, komputer-komputer riba LG Gram ini dijangka mempunyai jangka hayat bateri yang cukup panjang, selama 19.5 jam dengan satu pengecasan penuh.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah LG akan memperkenalkan komputer riba LG Gram ini kepada pasaran-pasaran terpilih, mahupun tanda harganya.



Paling Popular