Cari @ Amanz

Lenovo bakal memperlihatkan pelbagai jenis peranti komputer pada acara CES 2021 kelak, tetapi mungkin tidak seunik peranti kolaborasi diantara mereka dan NEC yang dinamakan LaVie Mini, iaitu sebuah komputer riba yang turut boleh digunakan sebagai sebuah konsol permainan mudah-alih.

Sekilas pandang, LaVie Mini ini adalah sebuah komputer riba dengan rekaan yang cukup kecil sekali. Ia hadir dengan paparan skrin sesentuh bersaiz lapan inci dengan resolusi 1920×1200. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-11 Tiger Lake dengan cip grafik Intel Iris Xe terbina didalamnya.

Apa yang lebih menarik mengenai LaVie Mini ialah ia boleh dilipat 180 darjah untuk menjadi sebuah tablet. Tetapi lebih dari itu, LaVie Mini ini juga hadir dengan sepasang pengawal permainan yang boleh dipasang pada komputer riba ini, menjadikan komputer riba kecil ini sebagai sebuah konsol permainan mudah-alih.

Dari segi susun atur butang, pengawal ini memperlihatkan rekaan yang lebih kurang sama seperti sebuah pengawal Xbox tetapi pada saiz yang lebih mesra tangan-tangan kecil.

Sebuah dok juga disediakan untuk komputer riba ini yang membolekannya melanjutkan paparan kepada sebuah skrin dengan resolusi 4K 60FPS, tetapi ia bukanlah digunakan untuk menggerakkan permainan pada resolusi tersebut.

Walaupun begitu, komputer riba LaVie Mini ini hanyalah sebuah konsep dan buat masa ini bukanlah sebuah produk yang akan dijual kepada orang ramai. Walaupun begitu, ia boleh dilihat sebagai sebuah konsep peranti gaming yang menarik, dan mungkin akan digunakan pada peranti-peranti lain di masa akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd