Xiaomi sudah lama hadir dengan pelbagai produk peranti berhubung, sehinggakan semua produk Xiaomi sudah lengkap untuk sebuah rumah pintar. Tetapi untuk pasaran global, lebih-lebih lagi Malaysia – pilihan produk adalah sangat terhad. Produk peranti berhubung Xiaomi yang biasa dilihat adalah mentol lampu LED pintar.

Terkini, Xiaomi mula menjual Mi Smart Speaker di Malaysia. Ia adalah sebuah pembesar suara pintar Google Assistant seperti mana Google Home, Google Nest Mini berfungsi. Mi Smart Speaker dijana dengan cip Amlogic A113X 4-core A53 dan mempunyai memori 512MB RAM serta 256MB storan dalaman untuk penggunaan sistem. Saiz pemacu audio adalah 2.5-inci jenis 12W dan mempunyai dua mikrofon terbina.

Untuk audio, ia menyokong FLAC 24-bit/96KHz dan juga DTS Surround. Disebabkan ini adalah generasi baharu pembesar suara pintar, ia menyokong sambungan WiFi 2.4GHz dan 5GHz. Ia juga boleh digunakan untuk mengawal pelbagai peranti berhubung, kipas pintar, lampu pintar dan banyak lagi.
Di atas mempunyai panel sentuhan untuk kawalan, lampu LED untuk indikasi serta keseluruhan pembesar suara ini bersaiz kompak dan sesuai diletakkan di man sahaja. Harga jualan adalah RM209 dan ia boleh dibeli pada 9 Januari ini di Lazada, Shopee atau pengedar rasmi.