Carian
Pandang Pertama Redmi 9T – Kembar Tidak Seiras Poco M3
January 8, 2021 Fahim Zahar

Redmi 9T hari ini telah pun dilancarkan di Malaysia. Ia adalah sebuah peranti kelas permulaan yang menggunakan cip pemprosesan peranti kelas pertengahan. Ini bukan kali pertama Xiaomi hadir dengan peranti seperti ini, sebelum ini Poco M3 sudah pun hadir dengan spesifikasi yang lebih kurang sama.

Melalui peranti dalam kelas ini dengan spesifikasi sebegini, ia akan memuaskan hati orang ramai. Kerana pengguna akhirnya boleh membeli peranti kelas permulaan berkuasa pada harga yang mampu milik. Redmi 9T adalah pengganti kepada Redmi 9 yang dilancarkan tahun lepas. Redmi 9T sebenarnya adalah Redmi 9 Power (India) dan Redmi Note 9 4G (China) yang dijenamakan semula untuk pasaran global.


Spesifikasi Dan Rekaan

Skrin6.53″, FHD+, DotDisplay LCD
60Hz, Gorilla Glass 3
PemprosesQualcomm Snapdragon 662 (11nm)
Cip4 x 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 x 1.8 GHz Kryo 260 Silver
Cip GrafikAdreno 610
RAM4GB
Muatan Dalaman64/128 GB
microSD
Kamera Utama48+8+2+2 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4, sudut ultra lebar, makro, kedalaman
Kamera Swafoto8 Megapixel f/2.0
Bateri6000 mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/TelefoniNano/4G
NFCTiada
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM599/RM699

Redmi 9T jika dibandingkan dengan peranti lain di pasaran adalah mirip dengan Poco M3 sahaja. Beza paling ketara adalah di panel belakang, kerana ia tidak mempunyai bonggol yang besar serta permukaan yang lebih kesat dan mempunyai cengkaman yang baik seakan peranti Realme. Kemudian, jika Poco M3 ada tri-kamera – Redmi 9T ada kuad-kamera yang mana lensa sudut ultra lebar ditambah. Lain-lain, apa yang anda lihat pada Poco itulah yang anda dapat pada Redmi 9T ini.

Cip yang sama, iaitu Snapdragon 662. Memori 4GB RAM sahaja serta bateri 6000mAh yang gila besar. Peranti ini hadir dengan pelbagai pilihan warna memberikan pengguna lebih banyak pilihan. Sedikit kurang gemar dengan rekaan panel hadapan kerana masih bertakuk, sedangkan jenama lain telah beralih ke skrin berlubang.

Pengalaman Penggunaan

Semasa kami menerima peranti ini, seperti biasa – masalah yang kerap berlaku dengan peranti Xiaomi adalah jika peranti sedang dalam proses pemindahan data dari peranti lama, sedang dalam proses tetapan ia akan menjadi perlahan dan sistem sedikit tergendala. Tetapi selepas itu, ia kembali normal. Cuma, disebabkan peranti ini menggunakan skrin 60Hz sahaja setiap animasi terasa sedikit perlahan dan lengah masa. Animasi dalam MIUI pada hemat kami tidak cukuo hebat untuk peranti bawah 4GB RAM.

Skrin adalah FHD+ yang mana salah satu kekuatan peranti ini, jika dibandingkan dengan peranti-peranti lain dalam kelas yang sama. Ini akan memberikan pengalaman penggunaan yang baik. Cuma skrinnya sedikit malap dan tidak begitu terang. Pembesar suara pada peranti ini adalah jenis Stereo, yang mana memberi kepuasan tambahan ketika ingin menikmati hiburan. Pembesar suara yang digunakan adalah cukup hebat untuk sebuah peranti yang berharga RM599.

Disebabkan Redmi menggunakan sistem operasi yang sama dengan peranti Mi, iaitu MIUI – ia padat dengan ciri dan fungsi yang menarik. Berbeza dengan Poco M3 yang menggunakan MIUI for Poco yang sedikit aneh dengan antaramuka yang sedikit ketinggalan. Versi yang digunakan apda Redmi 9T adalah MIUI 12 dan masih lagi berasaskan Android 10. Kami rasakan pengoptimasian pada peranti ini tidak cukup baik, begitu juga pengurusan memorinya.

Penggunaan dalam tempoh yang singkat dalam ujian kami, tidak banyak yang boleh kami sampaikan kecuali dengan rasa bersyukur. Peranti dalam kelas ini biasanya banyak pengorbanan agar harga boleh dijual dengan lebih murah. Tetapi tidak pada peranti ini. Walaupun prestasi terasa sedikit perlahan, tetapi sekadar penggunaan ringkas atau ingin jadikan peranti sebagai peranti sandaran ia amat hebat.

Nantikan ulasan kami mengenai peranti ini untuk pendapat lanjut. Kami masih memerlukan masa untuk ujian kamera, prestasi serta kebolehan bateri peranti ini. Setakat ini, peranti ini pada hemat kami adalah sebuah peranti yang baik jika sekadar untuk beri kepada anak atau orang-orang tua.

Kesimpulan

Jika Poco M3 dengan bateri 6000mAh mampu bertahan lama, pasti Redmi 9T akan mempunyai prestasi bateri yang sama. Jadi kami tidak terkejut jika kemampuan bateri peranti ini tahan lama. Dalam penggunaan yang ringkas ini, setakat ini apa yang kami boleh katakan ia sama sahaja dengan Poco M3.

Apa yang kami ingin uji adalah kamera sudut ultra lebar pada peranti ini agar dapat memberikan anda pilihan yang baik sama ada Poco M3 atau Redmi 9T. Dari atas kertas, peranti ini adalah sebuah peranti kelas permulaan yang cuba berlagak seakan sebuah peranti kelas pertengahan. Ini bukan perkara yang tidak baik, bagus sekali Redmi menggunakan cip yang cukup berkuasa. Tetapi pilihan memori adalah terlampau terhad.


Pro

  • Bateri 6000mAh yang sangat besar.
  • Rekaan yang memberi cengkaman yang baik.
  • Pembesar suara stereo yang cukup bagus.

Kontra

  • Prestasi yang perlahan dan perlu banyak bersabar untuk menggunakannya.
  • Skrin masih bertakuk.
  • Pilihan memori yang terhad.
Komen