HP Envy 14 Dikemaskini Dengan Siri CPU Intel Tiger Lake – Hadir Dengan Jangkahayat Bateri 16.5 Jam
HP

HP Envy 14 Dikemaskini Dengan Siri CPU Intel Tiger Lake – Hadir Dengan Jangkahayat Bateri 16.5 Jam

Diterbitkan pada Jan 11, 2021 oleh .

Permintaan untuk komputer riba baru semakin meningkat pada tahun 2020 akibat wabak COVID-19 dan di acara CES 2021, HP telah memperlihatkan kemaskini kepada komputer riba produktiviti premium mereka, iaitu HP Envy 14.

Bermula dengan rekaan, HP Envy 14 ini hadir dengan paparan IPS sesentuh bersaiz 14 inci dengan nisbah paparan 16:10 yang mempunyai resolusi 1920×1200 pixel.

Apa yang menarik lagi ialah paparan ini juga mempunyai delta kejituan warna E<2, yang cukup sesuai untuk mereka yang mementingkan kejituan warna dalam kerja seharian mereka.

Dari segi spesifikasi dalaman. komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, dan juga hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650 Ti Max-Q untuk mereka yang memerlukan kuasa pemprosesan grafik yang berkuasa.

HP sedar bahawa komputer-komputer riba ini akan digunakan untuk menjalankan perisian-perisian telesidang juga, dan oleh itu telah memuatkan sistem kecerdasan buatan untuk mikrofon dan pembesar suara untuk memastikan bahawa bunyi bising ditapis daripada bahagian mikrofon.

Selain daripada itu, bahagian webcam juga hadir dengan penutup fizikal, dan juga butang memadam suara dari mikrofon untuk akses yang cepat. Ia juga hadir dengan sokongan untuk WiFi 6, bersama-sama dengan palam Thunderbolt 4 yang menjanjikan penghantaran data yang sangat pantas.

Selain daripada itu, HP juga menjanjikan jangkahayat bateri selama 16.5 jam dengan satu pengecasan penuh dengan bantuan perisian HP Dynamic Power.

HP Envy 14 ini dijangka akan tiba di beberapa pasaran terpilih pada harga bermula $999 (~RM4000) pada penghujung bulan Januari 2021.



Paling Popular