Carian
Lenovo Mengemaskini Portfolio ThinkPad X1 Dengan Model-Model Baru
January 12, 2021 Nazrin

Di acara CES 2021, Lenovo telah memperlihatkan sejumlah komputer riba ThinkPad X1 baru yang bukan sahaja mempunyai rekaan unik, tetapi juga hadir dengan komponen-komponen dalam terbaru yang berkuasa.

Bermula dengan Lenovo ThinkPad X1 Titanium Yoga, ini ialah komputer riba ThinkPad X1 pertama yang menggunakan logam titanium untuk rangka komputer tersebut.

Dengan penggunaan bahan titanium ini, Lenovo bukan sahaja menjanjikan sebuah komputer riba yang tahan hentakan, tetapi juga hadir dengan rekaan yang jauh lebih nipis, dengan ketebalan 11.5mm sahaja.

Lebih menarik lagi ialah ThinkPad X1 Titanium Yoga ini juga ialah ThinkPad pertama dengan paparan yang menggunakan nisbah 3:2 dengan resolusi 2K yang memberinya saiz sebuah kertas A4. Paparan ini juga hadir dengan ciri sesentuh dan mempunyai nilai kecerahan setinggi 450nit yang juga menyokong ciri HDR.

Dari segi spesifikasi dalaman, Lenovo ThinkPad X1 Titanium Yoga ini hadir dengan pilihan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, bersama-sama memori DDR4 sehingga 16GB dan juga storan SSD NVMe PCIe sebesar 1TB.

Lenovo turut memperkenalkan kemaskini kepada siri komputer riba Lenovo ThinkPad X1 Carbon gen 9 dan Lenovo ThinkPad X1 Yoga gen 6 yang hadir dengan spesifikasi dalaman sama seperti ThinkPad X1 Titanium Yoga, tetapi dengan paparan dengan nisbah skrin 16:10 yang lebih tinggi berbanding dengan paparan-paparan yang digunakan sebelum ini.

Kedua-dua komputer riba ini juga adalah komputer riba pertama yang hadir dengan sokongan untuk sistem mikrofon dan pembesar suara Dolby Voice dan Dolby Atmos yang menjanjikan pengalaman bercakap di perisian telesidang yang jauh lebih 2berkualiti berbanding apa yang ditawarkan oleh sistem-sistem audio yang lain.

Satu lagi komputer riba baru yang diperkenalkan oleh Lenovo di acara CES 2021 ialah Lenovo ThinkPad X12 Detachable, iaitu komputer riba 2-dalam-1 yang boleh berfungsi sebagai komputer riba dan tablet jika diperlukan.

Dikuasakan oleh CPU Intel Tiger Lake, ThinkPad X12 Detachable ini juga hadir dengan paparan skrin bersaiz 12.3 inci dengan ciri sesentuh yang juga dilindungi oleh kaca Gorilla Glass.

Selain daripada cip pemprosesan Intel Tiger Lake, kesemua komputer-komputer riba ThinkPad X1 ini hadir dengan sokongan untuk rangkaian 4G dan 5G terbina didalamnya, menjadikannya komputer riba produktiviti yang boleh digunakan dimana-mana sahaja anda berada.

Menurut Lenovo, komputer-komputer riba ThinkPad X1 ini akan tiba di pasaran antarabangsa tidak lama lagi, dengan tanda-tanda harga permulaan berikut:

  • Lenovo ThinkPad X1 Titanium Yoga – $1899
  • Lenovo ThinkPad X1 Carbon gen 9 – $1429
  • Lenovo ThinkPad X1 Yoga gen 6 – 1569
  • Lenovo ThinkPad X12 Detachable – $1149
Komen