Cari @ Amanz

Televisyen pintar LG menjalankan sistem operasi webOS. Walaupun tidak sehebat televisyen pintar Android TV atau Google TV, televisyen LG adalah antara terawal yang menyokong Apple TV. Bukan itu sahaja, panel skrin LG tidak dinafikan antara yang tercantik dan terhebat di pasaran.

Tahun 2021 ini, LG telah mengumumkan beberapa televisyen OLED, QNED Mini LED dan NanoCell. Setiap televisyen ini walaupun dalam siri yang sama, tetapi teknologi di sebalik panel yang digunakan telah ditambah baik. Seperti rekaan panel OLED serba baharu, panel LCD dengan Quantum NanoCell  dan pencahayaan mini-LED dan sistem operasi webOS serba baharu.

Pertama adalah LG OLED evo, yang mana menawarkan saiz skrin dari 48-inci sehingga 83-inci. Televisyen ini turut mempunyai kecerahan skrin yang lebih baik dan turut mempunyai kaki Gallery Stand yang tampak cantik dan premium. Kemudian setiap televisyen dalam siri  Z1, G1, C1, LG QNED Mini LED QNED99, QNED95, LG NanoCell NANO99 dan NANO95 semuanya dijana dengan cip α (Alpha) 9 Gen 4 AI untuk prestasi yang lebih baik.

Cip pemproses ini bukan sahaja menambah baik prestasi, tetapi turut menjadikan kualiti skrin lebih cantik, hebat dan menarik. Untuk audio, cip ini turut menyokong AI Sound Pro, yang mana adalah sistem audio menyeluruh. Ia juga menyokong aras suara auto laras mengikut keadaan suasana. Selain itu, setiap televisyen ini menyokong Dolby Vision IQ dan Dolby Atmos. Game Optimizer turut disokong pada semua televisyen bersama-sama dengan G-SYNC Compatible dan FreeSynv Premium untuk permainan video dari konsol. Ia juga menyokong kadar segar semula adaptif bagi memuaskan lagi pengalaman penggunaan.

Akhir sekali, sudah semestinya setiap televisyen ini disertakan sekali port sambungan HDMI 2.0. Harga jualan dan tarikh jualan masih tidak diumumkan lagi. Tetapi mengenali LG, harga televisyen mereka selalunya premium dan mahal. Hanya selepas beberapa tahun barulah ada penurunan harga.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd