Predator Triton 300 SE Menggabungkan Rekaan Minimalis Dengan Komponen Terbaru Dan Berkuasa

Predator Triton 300 SE Menggabungkan Rekaan Minimalis Dengan Komponen Terbaru Dan Berkuasa

Diterbitkan pada Jan 13, 2021 oleh .

Nama Predator oleh Acer pastinya sudahpun dikenali oleh ramai gamer di seluruh negara dan juga dunia. Siri komputer Predator Triton misalnya hadir dengan rekaan kemas dan juga spesifikasi dalaman yang berkuasa.

Di acara CES 2021, Acer sekali lagi memperkenalkan sebuah lagi komputer riba gaming dibawah nama Predator, iaitu Predator Triton 300 SE yang bukan sahaja hadir dengan rekaan ringkas dan minimalis, tetapi juga dikuasakan oleh komponen-komponen terbaru daripada Intel dan NVIDIA.

Bermula dengan rekaan komputer riba ini, jika komputer riba Predator sebelum ini semuanya hadir dengan rekaan rangka luaran berwarna hitam, Predator Triton 300 SE ini hadir dengan rangka besi berwarna kelabu dari bahagian luar sehinggalah ke dalam.

Dengan ketebalan 17.9mm dan berat 1.8kg sahaja, komputer riba ini boleh dibawa kemana-mana, dan dengan spesifikasinya yang berkuasa, ia boleh digunakan untuk tujuan produktiviti ataupun riadah tidak kira dimana anda berada.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Tiger Lake-H, khususnya Intel Core i7-11375H, iaitu cip pemprosesan Intel terbaru yang hadir dengan kelajuan satu teras setinggi 5GHz. Melengkapkan spesifikasi dalaman komputer riba ini, ia juga menggunakan cip grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 untuk komputer riba yang juga baru sahaja diumumkan oleh NVIDIA.

Predator Triton 300 SE ini juga dilengkapi dengan paparan IPS 14 inci dengan resolusi Full HD dan juga kadar segar semula 144Hz dan bingkai yang nipis dari sisi dan bahagian atas.

Dari segi ciri-ciri tambahan, Predator Triton 300 SE ini turut dilengkapi dengan sokongan untuk WiFi6 dan Thunderbolt 4 yang menjanjikan pengalaman internet yang baik dan kadar penghantaran data dari peranti yang cukup pantas sekali.

Dengan penggunaan komponen-komponen terbaru ini, Acer turut mengatakan bahawa dengan satu pengecasan penuh, Predator Triton 300 SE ini mampu bertahan selama 10 jam dengan satu pengecasan penuh dengan penggunaan biasa.

Digabungkan dengan sistem penyejukan Vortex Flow dan kipas penyejuk Aeroblade generasi kelima, Acer menjanjikan pengalaman gaming yang sejuk dan berkuasa dengan komputer riba ini.

Menurut Acer, komputer riba ini akan mula ditawarkan di beberapa pasaran terpilih seperti Amerika Syarikat dan Eropah bermula bulan Februari ini. Bergantung kepada konfigurasi yang dipilih, Predator Triton 300 SE ini akan dijual pada harga permulaan $1399 ataupun 1,499 EUR.



Paling Popular