Peranti boleh-gulung mungkin akan dipasarkan tahu ini dari Samsung, LG dan Oppo. Konsep telahpun diperlihatkan cuma pengeluar sedang memperhalusi rekaan bagi memastikan ia benar-benar tahun lasak sebelum dijual. Di CES 2021, Razer memperlihatkan Project Brooklyn yang membayangkan kerusi gaming generasi hadapan yang futuristik.
Project Brooklyn dilengkapi sebuah skrin boleh-gulung melengkung sebesar 60-inci yang memberikan sudut penglihatan 180 darjah. Apabila tidak digunakan, skrin boleh digulung semula untuk disimpan pada bahagian atas kerusi. Selain itu meja terbina yang melipat keluar turut disertakan bersama dengan sistem gegaran haptik HyperSense.

Produk Razer tidak akan lengkap tanpa sokongan RGB Razer Chroma yang boleh diubah warnanya sendiri oleh pengguna. Seperti Project Valerie dan Project Hazel sebelum ini, Project Brooklyn hanyalah sekadar konsep kerana pelbagai teknologi yang dipaparkan masih lagi belum wujud.
Tetapi jika anda tidak mahu menanti ia menjadi realiti, Acer Thronos telah dipasarkan dua tahun lalu dengan rekaan hampir sama cuma tanpa skrin boleh-gulung.