Pada tahun lepas, ASUS telah memperkenalkan sebuah siri komputer riba nipis dan ringan baru dibawah jenama ROG Zephyrus G yang memperlihatkan gabungan CPU AMD Ryzen dan juga kad grafik NVIDIA GeForce.

Di acara CES 2021 yang sedang berlangsung, ASUS telah mengesahkan bahawa dua model didalam siri ini, iaitu ROG Zephyrus G14 dan Zephyrus G15 akan dikemaskini dengan siri cip pemprosesan AMD Ryzen 5000 dan juga NVIDIA GeForce RTX 3000 untuk komputer riba.

Kedua-dua model ROG Zephyrus G14 dan G15 ini juga hadir dengan pilihan paparan skrin yang baru. Model G14 diberi pilihan paparan skrin 14 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz ataupun resolusi 2K dengan kadar segar semula 120Hz.

Untuk G15 pula, pengguna diberi pilihan untuk mendapatkan paparan 15 inci yang mempunyai resolusi QHD dan juga kadar segar semula 165Hz bersama-sama dengan sokongan gamut warna DCI-P3 100 peratus untuk mereka yang mementingkan kejituan warna.

Untuk Zephyrus G15 lagi, model yang dikemaskini juga hadir dengan sistem engsel Ergolift Hinge yang mengangkat sedikit bahagian papan kekunci untuk pengaliran udara yang lebih optimal.
Gimik utama pada model Zephyrus G14 dan G15 ialah panel AniMe Matrix di bahagian belakang paparan. Panel ini, yang diperbuat menggunakan lampu Mini LED kini telah menerima penambahbaikan dari segi animasi.
ASUS mengatakan bahawa mereka akan mula memperkenalkan kemaskini komputer riba ROG Zephyrus G14 dan G15 ini sekitar suku pertama 2021 pada harga yang akan ditetapkan kelak.