Illegear ialah sebuah jenama komputer riba tempatan yang menjual komputer riba berspesifikasi pertengahan dan tinggi yang biasanya digunakan untuk tujuan riadah dan gaming.
Terkini, selepas NVIDIA mengumumkan kehadiran siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 untuk komputer riba, Illegear telah mengumumkan bahawa mereka akan mula menawarkan pilihan kad grafik tersebut untuk komputer-komputer riba mereka.
Diantara siri-siri komputer riba yang akan menerima kemaskini ini termasuklah:
- Illegear Selenite Pro
- Illegear Onyx Pro
- Illegear Onyx V
- Illegear Onyx G
- Illegear Rogue
Buat masa ini, ia masih lagi tidak diketahui apakah kad-kad grafik yang akan ditawarkan secara khusus untuk komputer-komputer riba ini, tetapi ia tidak mengejutkan jika kesemuanya hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 sehinggalah NVIDIA GeForce RTX 3080 Max-Q.
Selain daripada penambahbaikan dari segi GPU, pengguna juga kini boleh memilih untuk mendapatkan komputer-komputer riba ini dengan paparan skrin beresolusi QHD dan juga kadar segar semula 165Hz.
Menurut Illegear, pra-tempahan untuk komputer-komputer riba mereka dengan cip pemprosesan NVIDIA terbaru ini akan bermula pada 16 Januari sehingga 27 Januari kelak, dimana kami menjangkakan ia akan hadir di pasaran tempatan tidak lama selepas itu.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penawaran baru Illegear, anda boleh melayari laman web mereka.