Cari @ Amanz

Industri pembangun cip ARM boleh dilihat sebagai sebuah sektor yang sangat sengit sekarang, dengan syarikat-syarikat seperti Apple, Qualcomm, MediaTek dan sebagainya sedang bertarung untuk takhta SoC yang paling berkuasa.

Qualcomm baru-baru ini telah mengesahkan melalui presiden dan CEOnya, Cristiano Amon bahawa mereka telah mengambil alih syarikat startup pembangunan cip NUVIA pada harga $1.4 bilion (~RM5.6 bilion).

Amon berkata bahawa NUVIA merupakan salah satu syarikat pembangun cip yang paling menarik pada hari ini, khususnya kerana cip-cip mereka digunakan dengan meluas didalam pelbagai jenis industri, termasuklah pembangunan perisian, automotif, peranti pintar dan sebagainya.

Menurut laporan Forbes, NUVIA turut mempunyai hak IP untuk pelbagai jenis rekaan untuk teknologi nirwayar, frekuensi radio, unit pemprosesan grafik dan juga pemprosesan isyarat digital.

Kesemua teknologi-teknologi ini, bagi Amon adalah penting jika Qualcomm ingin mendapatkan kelebihan didalam lumba untuk menjadi syarikat pembangun cip yang paling berjaya didalam industri.

Menurut beliau lagi, pengambilalihan syarikat ini adalah penting khususnya kerana pengasas-pengasas syarikat ini adalah jurutera-jurutera sama yang membantu Apple membangunkan cip pemprosesan Apple M1 yang kini digunakan didalam peranti Macbook dan Mac Mini terbaru mereka.

Mereka adalah Gerard Williams, arkitek CPU Apple M1, Manu Gulati, arkitek rekaan SoC cip pemprosesan tersebut, dan juga John Bruno, jurutera yang membuat pengiraan mengenai peningkatan prestasi cip pemprosesan tersebut, dan juga CEO syarikat NUVIA.

Apa yang membuatkan pengambilalihan syarikat ini benar-benar menarik ialah kenyataan yang dikeluarkan Qualcomm disambut baik oleh 18 ketua syarikat-syarikat teknologi terkemuka seperti Microsoft, Google, Samsung, ASUS dan Panasonic.

Pelaburan yang cukup besar oleh Qualcomm ini boleh dilihat sebagai sebuah kenyataan kepada syarikat-syarikat lain bahawa mereka tidak akan berdiam diri setelah melihat syarikat seperti Apple mula memindahkan platform mereka sepenuhnya kepada ARM daripada x86 dan memperlihatkan prestasi yang sangat memberangsangkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd