MSI pada tahun 2020, selain daripada memperkenalkan beberapa komputer riba gaming baru, turut memperkenalkan sejumlah komputer riba yang memfokuskan kepada prestasi produktiviti untuk mereka yang bekerja dan belajar dari rumah dan memerlukan kuasa perkomputeran dalam pakej yang padat.

Pada acara CES 2021, MSI telah memperlihatkan model MSI Creator baru, iaitu MSI Creator 15 yang hadir dengan rekaan minimalis tetapi komponen dalaman yang berkuasa.
MSI Creator 15 hadir dengan paparan IPS bersaiz 15.6 inci dengan tiga sisi berbingkai nipis dengan resolusi 4K yang menyokong gamut warna Adobe RGB 100 peratus untuk kualiti warna yang jitu. Jika diingini, pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan paparan dengan ciri sesentuh.

Komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-10870H, memori DDR4 sehingga 64GB dan storan SSD NVMe PCIe sebesar 1TB. Menariknya, MSI Creator 15 ini juga akan dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan GPU NVIDIA GeForce RTX 3000 Max-Q, bergantung kepada pilihan pengguna.

MSI Creator 15 ini turut dilengkapi dengan bateri 99Wh yang menjanjikan jangkahayat bateri yang panjang, dan ini membolehkan pengguna untuk membawa komputer riba ini kemana-mana tanpa perlu membawa plag pengecasan.
Menurut MSI, komputer riba Creator 15 ini akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada Januari 26 kelak pada tanda harga bermula $1899 (~RM7700).