Cari @ Amanz

Setiap tahun di acara CES, MSI pastinya akan memperkenalkan sejumlah komputer riba yang hadir dengan spesifikasi dalaman dan luaran terbaru. Bagi mereka yang sedang mengumpul wang untuk membeli komputer riba yang terbaru dan paling berkuasa, komputer riba ini mungkin untuk anda.

MSI GE76 Raider Dragon Edition Tiamat ialah komputer riba gaming terbaru dan paling berkuasa keluaran MSI. Ia dilengkapi dengan paparan bersaiz 17.3 inci yang mempunyai pilihan resolusi Full HD dengan kadar segar semula setinggi 300Hz ataupun resolusi 4K dengan kadar segar semula 60Hz.

Dari segi spesifikasi dalaman, GE76 Dragon Edition Tiamat ini dikuasakan oleh CPU Intel generasi ke-10 Comet Lake dengan pilihan model sehingga Intel Core i9-10980HK, memori DDR4 sebanyak 64GB dan dua slot storan SSD NVMe PCIe yang boleh dinaiktaraf jika diperlukan.

Sama seperti banyak komputer riba yang diperkenalkan sepanjang CES, GE76 Raider Dragon Edition Tiamat ini dikuasakan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000, dimana ia boleh dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 ataupun NVIDIA GeForce RTX 3080 bersaiz desktop.

Dengan komponen-komponen ini, MSI mengatakan bahawa MSI GE76 Raider Dragon Edition Tiamat ini mampu menggerakkan apa-apa sahaja permainan komputer pada resolusi dan kadar segar semula tinggi dengan tetapan grafik pada tahap maksima tanpa masalah.

Walaupun komputer riba ini masih lagi menggunakan CPU Intel Comet Lake, ia juga hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E yang menggunakan frekuensi 6GHz untuk mengelakkan kesesakan frekuensi tatkala lebih ramai pengguna berpindah kepada WiFi6 yang menggunakan frekuensi 5GHz.

Salah satu keunikan utama pada komputer riba ini ialah ukiran naga di bahagian belakang paparan yang memperlihatkan seekor naga bernama Tiamat yang mempunyai sejarahnya sendiri dalam tamadun Sumeria.

Menghidupkan komputer riba berkuasa ini ialah sebuah bateri 99Wh yang sepatutnya boleh memberikan komputer riba ini jangkahayat selama tiga ke empat jam dengan satu pengecasan penuh.

Menurut MSI, komputer riba MSI GE76 Raider Dragon Edition Tiamat ini, bersama-sama dengan MSI GE76 Raider edisi biasa akan memasuki pasaran terpilih bermula bulan Februari kelak pada harga yang akan ditetapkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd