Samsung malam ini telah melancarkan tiga peranti mercu yang ramai nanti-nantikan, iaitu siri Galaxy S21. Ia adalah peranti mercu Samsung pertama dengan cip Exynos 2100 dan Samsung turut bawakan rekaan bonggol kamera yang lain daripada yang lain. Kali ini, Samsung dilihat cuba mengikut strategi Apple seperti iPhone 12 dan iPhone 12 Mini pada Galaxy S21 dan Galaxy S21+. Kenapa?
Buat pertama kalinya, dua model ini mempunyai spesifikasi yang sama. Beza yang paling ketara adalah dari segi saiz sahaja. Dalaman majoritinya sama, kecuali S21 yang tiada UWB dan S21+ ada, bateri lebih kecil pada S21, serta S21 menggunakan panel polikarbonat berbanding S21+ panel kaca.
Kesemua peranti Galaxy S21 telah tiba ke makmal Amanz sejak beberapa hari yang lalu. Kami telah dapat menguji peranti ini dan pendapat awal kami dalam tempoh percubaan yang singkat bercampur suka dan duka. Jika anda ingin tahu apakah pendapat kami, teruskan baca artikel ini.
Spesifikasi Dan Rekaan
Galaxy S21 | Galaxy S21+ | |
---|---|---|
Skrin | 6.2″ Dynamic AMOLED 2X Infinity-O, FHD+, 120Hz, 1300 nits, 421 PPI, HDR10+ | 6.7″ Dynamic AMOLED 2X Infinity-O, FHD+, 120Hz, 1300 nits, 394 PPI, HDR10+ |
Pemproses | Exynos 2100 (5nm) 1x Cortex X1 2.9GHz 3x Cortex A78 2.8GHz 4x Cortex A55 2.2GHz | Exynos 2100 (5nm) 1x Cortex X1 2.9GHz 3x Cortex A78 2.8GHz 4x Cortex A55 2.2GHz |
Cip Grafik | Mali-G78 MP14 | Mali-G78 |
RAM | 8GB | 8GB |
Storan | 256GB | 256GB |
Kamera Utama | 64MP f/2.0 Telefoto,OIS 12MP f/1.8 Utama, OIS 12MP f/2.2 Sudut ultra lebar, 120° | 64MP f/2.0 Telefoto,OIS 12MP f/1.8 Utama, OIS 12MP f/2.2 Sudut ultra lebar, 120° |
Kamera Swafoto | 10MP f/2.2 with 80° FOV. | 10MP f/2.2 with 80° FOV. |
Bateri | 4000mAh | 4800mAh |
SIM/Telefoni | Dwi-Sim/5G | Dwi-Sim/5G |
NFC/UWB | Ya/Tiada | Ya/Ya |
Bicu Audio | Tiada | Tiada |
Kalis Air | IP68 | IP68 |
Sistem Imbasan | Ultrasonik Bawah Skrin | Ultrasonik Bawah Skrin |
Harga Jualan | RM3699 | RM4299 |
Baiklah, kita mulakan dengan rekaan. Perkara paling menonjol pada kedua-dua peranti ini adalah rekaannya. Bonggol kamera yang lain daripada yang lain, ia besar tetapi tetapi tidak begitu tebal dan terus bergabung dengan bingkai peranti. S21 jika diletak pada permukaan yang rata tidak begitu terjungkit, kecuali S21+ yang sedikit terjungkit. Dalam moduk kamera, semua lensa kamera disusun rata dan tidak terkeluar. Lampu LED flash diletak di luar bonggol kamera, yang mana sedikit aneh.
Unit pada kami ini adalah berwarna kelabu dan hitam. Ia menggunakan kemasan pusam yang lebih pusam dari Galaxy S20 dan Note20. Ia boleh dikatakan seakan iPhone, tetapi lebih kesat. Panel skrin adalah jenis rata dan sangat cantik sekali, ia menggunakan rekaan berlubang di bahagian tengah. Rekaan bezel juga dilihat semakin nipis, yang memberikan pengalaman penggunaan skrin nirbingkai.
Di sisi kanan peranti terdapat butang kuasa dan butang aras suara, manakala tiada apa-apa di sisi kiri. Atas hanya ada mikrofon dan bawah pula adalah slot kad SIM, port USB-C, kekisis pembesar suara dan lagi lubang mikrofon.
Kedua-dua peranti ini dijana dengan cip yang sama, iaitu Exynos 2100, mempunyai tetapan memroi yang sama iaitu 8/256 GB, sistem tri-kamera yang sama, sistem pengecasan yang sama dan semuanya sama. Bateri beza sedikit dan S21 tiada UWB, manakala S21+ ada UWB.
Pengalaman Penggunaan
Kedua-dua skrin menggunakan panel yang sama, jadi kualitinya adalah sama sahaja. Beza saiz juga jika menggunakan kedua-dua peranti serentak, tidak begitu banyak bezanya. Skrin amat terang dan warna tidak pecah atau tidak seimbang, malah ia cantik dan butiran boleh dilihat dengan jelas. Warna juga tajam, hitam juga benar-benar gelap, dan tonton video HDR di YouTube adalah sangat memuaskan. Skrin pula menyokong kadar segar semula 120Hz, yang mana sangat lancar dan pantas.
Dalam penggunaan awal, langsung tiada lengah masa seperti yang selalu berlaku pada peranti One UI sebelum ini. Ia terasa pantas, lancar dan dapat rasakan ini adalah peranti yang sangat berkuasa. Tidak dinafikan pengalaman ini turut disumbang oleh skrin 120Hz yang adaptif. Ini tidak bermakna Exynos 2100 tidak cukup berkuasa. Di pelancar, menatal di skrin sangat memuaskan. Buka banyak aplikasi serentak dan tukar antara satu sama lain juga sepantas kilat. Kami sempat bermain permua, Asphalt 9 – ia memberikan pengalaman yang sangat menyeronokkan pada tetapan grafik paling tinggi. Langsung tiada lengah masa, sebaik selesai bermain dan pergi ke skrin utama untuk buka aplikasi lain – juga lancar.
Untuk skor tanda aras, akhirnya Apple A14 Bionic mempunyai pencabar. Pada Geekbench 5, Galaxy S21 mencatatkan skor 1058 satu teras dan 3417 multi teras. Manakala, Galaxy S21+ pula mencatatkan skor 1085 untuk satu teras dan 3343 untuk multi-teras. Aplikasi AnTuTu versi 8.5.2 mencatatkan skor 623976 pada Galaxy S21 dan 635611 pada Galaxy S21+. Ini adalah skor yang sangat hebat, di mana bukan sahaja bersaing dengan A14 tetapi juga Snapdragon 888. Samsung jelas sekali cuba mengubah pemikiran anti-Exynos untuk cuba sekali lagi cip buatan mereka ini.
Kedua-dua peranti ini rasa sangat selesa di tangan dan tidak mudah untuk tergelincir. Ia tidak begitu berat, rasa sedap-sedap sahaja dan binaan peranti ini jelas sekali premium. Walaupun Samsung cuba sedaya upaya untuk nampakkan Galaxy S21 sama premium dengan S21+, di tangan ia jelas terasa yang peranti ini adalah plastik.
Seperti biasa, untuk sekuriti peranti mercu Samsung akan menggunakan pengimbas cap jari ultrasonik. Sensor ini adalah sangat pantas dan skrin tidak perlu menyala pun untuk ia berfungsi. Kali ini, ia terasa berkali ganda lebih pantas. Sentuh sekejap sahaja skrin terus nyahkunci. Ia membuatkan kami sendiri terkejut dengan sensor ini.
Audio mengejutkan, kekal baik dan hebat. Bunyi dengar seimbang, mempunyai bass yang cukup dalam dan enak didengari. Jika dibandingkan dengan iPhone 12 Mini, kedua-dua S21 ini lebih baik. Nantikan ulasan kami untuk kualiti panggilan telefon dan rakaman suara.
Peranti ini menjalankan sistem operasi terkini Samsung, One UI 3.0 berasaskan Android 11. Secara keseluruhan, pengalaman penggunaan adalah sama sahaja dengan One Ui sebelum ini. Cuma ia menambahkan sedikit pengalaman penggunaan seakan Android asli. Di skrin utama, jika di tatal ke bahagian kanan tiada lagi Bixby. Sebaliknya digantikan dengan Google Discover secara lalai. Aplikasi permesejan juga kini Google Message, kerana ingin menggalakkan orang ramai menggunakan RCS.
Rekaan dari segi visual juga kini lebih kemas, tetapan disusun dalam bentuk cards, talam notifikasi yang lebih elegan, dan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih menarik dan selesa.
Kamera
Unit yang kami uji ini adalah unit prototaip, jadi prestasi kamera adalah sangat perlahan dan lengah masa. Bukan itu sahaja, peranti juga menjadi memanas apabila menggunakan kamera. Harapnya versi komersil kelak tidak mempunyai masalah ini. Samsung kali ini cuba memfokuskan kepada kamera juga. Dalam aplikasi kamera ada banyak mod kamera, termasuk mod profesional untuk kawalan manual gambar dan video serta mod pengarah.
Antaramuka kamera masih lebih kurang sama sahaja, jadi pengguna lama tidak akan rasa aneh. Pengguna baru juga mungkin akan selesa sahaja, kerana aplikasi kamera yang mudah digunakan.ia kelihatan lebih kurang sama dengan Galaxy S20.
Untuk kualiti. Tiada yang mengejutkan di sini, hasil gambar yang cantik dan terang, mod potret yang kelihatan lebih pantas untuk diproses sambil kualiti yang pengguna Samsung kenali. Warna yang cukup tajam, butiran yang baik serta tangkapan yang pantas. Kami tidak terasa begitu teruja, lebih-lebih lagi pada peralihan lensa yang masih tidak selancar iPhone.
Kami rasakan video mempunyai banyak perkara baru, seperti rakaman 8K 24FPS, penstabilan yang lebih baik serta dengan kawalan manual dan mod pengarah – ia akan membuka minda kreativiti pengguna. Nantikan ulasan lanjut mengenai kedua-dua peranti ini tidak lama lagi. Artikel ini lebih kepada pandang pertama sahaja dan pendapat awal.
Kesimpulan
Kami rasakan, Samsung cuba menawarkan S21 dan S21+ ini kepada semua orang. Bagi yang tidak memerlukan lensa sehingga 108MP atau sokongan S-Pen, dua peranti ini sudah memadai. Tiada banyak beza pun antara dua ini, UWB pun penggunaan belum meluas seperti 5G. Jadi tiada pun tidak mengapa. Saiz skrin yang tidak ada banyak beza dan mungkin yang membuatkan keputusan beli adalah bateri sahaja. Dengan cip 5nm, Apple telah membuktikan bateri kecil pun boleh tahan lama. Samsung tiada alasan, jadi kami rasakan ini bukan isu besar.
Bagi yang inginkan pengalaman penggunaan premium, One UI baharu, kamera yang okay serta prestasi yang memuaskan S21+ sudah memadai. S21 mungkin pengorbanan pada plastik sahaja, lain lebih kurang. Jadi ia kembali kepada poket anda, yang manakah anda mampu beli dan manakah yang anda sanggup korbankan.
Pro
- Spesifikasi sama, seakan tiada beza
- Rekaan yang lebih menarik dan elegan
- Skrin yang sangat cantik dan lancar
- Prestasi yang sangat lancar dan pantas
Kontra
- Bonggol kamera masih sedikit tebal
- S21 terasa sangat plastik
- Elemen OneUI masih terasa sedikit berat
- Harga jualan yang agak tinggi
Samsung turut menawarkan Galaxy SmartTag dan Buds Pro secara percuma dengan pra-tempahan ini. Gunakan kod AMS21VIP ketika pra-tempah untuk turut menerima tambahan Samsung ANC Type-C Earphones secara percuma.
- Layari :