Samsung Galaxy S21 telah pun dilancarkan hari ini. Ia adalah peranti mercu terbaru dari Samsung untuk tahun 2021. Kali ini, peranti mercu Samsung turut dilancarkan ,lebih awal berbanding model lama. Melalui siri peranti ini, Samsung bawakan banyak perubahan. Antaranya adalah rekaan Contour Cut Design, cip Exynos 2100 berasaskan 5nm serta pengimbas cap jari yang berganda lebih pantas.
Ini adalah 10 perkara yang kami rasakan menarik ada pada siri Samsung Galaxy S21, termasuk S21+ dan S21 Ultra.
1. Cip Exynos 2100 Yang Berkuasa

Tidak perlu bersembunyi lagi, kita boleh agak kenapa Samsung mempercepatkan pelancaran Samsung Galaxy S21. Ini adalah kerana cip pemprosesan Exynos 2100 yang direka berasaskan 5nm. Cip ini akan bersaing dengan Apple A14 Bionic yang sudah berbulan berada di pasaran dan terbukti berkuasa. Jadi, dengan pelancaran tiga peranti Galaxy S21 – akhirnya Samsung ada peranti yang boleh bersaing dengan iPhone 12.
Prestasi setiap peranti yang dijana dengan cip ini ternyata bersaing sengit dengan A14. Kami sendiri terkejut dengan prestasi cip ini. Ini bermakna akhirnya kita boleh lihat usaha keras Samsung untuk menarik perhatian pengguna agar kembali mencuba Exynos dan tidak lagi ke Snapdragon.
2. Spesifikasi Yang Sama Setanding Pada S21 Dan S21+

Samsung nampaknya mengikut jejak langkah Apple, seperti strategi antara iPhone 12 dan iPhone 12 Mini kepada Samsung Galaxy S21 dan S21+. Kedua-sua spesifikasi ini hampir sama, perkara yang dikorbankan mungkin anda tidak akan hiraukan pun dan boleh maafkan. Beza ketara antara dua ini adalah saiz, bateri, UWB dan panel belakang sahaja. Lain-lain sama.
Saiz kedua-duanya tidak banyak beza, di tangan kedua-dua rasa selesa tidak kira tangan besar mana. Bateri mungkin tidak menjadi masalah dengan cip 5nm yang lebih efisien, kemudian UWB hanya ada pada S21+ dan Ultra, tetapi jika anda ingin memiliki S21 sahaja tiada masalah kerana penggunaan masih terhad. S21 menggunakan panel polikarbonat, atau plastik – jimat duit dengan kemasan pusam yang lebih kurang sama.
3. Skrin Kadar Segar Semula Adaptif 120Hz

Jika sebelum ini skrin kadar segar semula terhad kepada FHD+, kini pada semua resolusi disokong. Bukan itu sahaja, sokongan kadar segar semula adaptif biasanya ditawarkan pada peranti mercu utama sahaja, dengan penawaran adaptif pada semua model – ini akan menjadi contoh baik untuk semua pengeluar peranti.
Sokongan adaptif pula bukan sekadar 60Hz pergi ke 120Hz, sebaliknya boleh lebih rendah mengikut kandungan terpapar. Pada S21 dan S21+ ia diantara 40-120Hz manakala pada S21 Ultra pula ia di antara 10-120Hz. Sokongan 120Hz juga akhirnya boleh digunakan pada resolusi WQHD+ tetapi terhad kepada S21 Ultra sahaja.
4. Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin 50% Lebih Pantas

Amat jarang untuk pengeluar peranti selain Samsung, hadir dengan pengimbas cap jari bawah skrin jenis ultrasonik. Terkini, Qualcomm sudah hadir dengan generasi baru yang berganda lebih pantas. Kesemua siri Galaxy S21 dijangka menggunakan sensor terbaru Qualcomm ini. Kerana dalam percubaan kami sendiri, dakwaan Samsung benar, imbasannya 50% lebih pantas dengan kawasan imbasan lebih besar. Disebabkan ia dari jenis ultrasonik, jari dapat diimbas walaupun kotor dan basah.
5. Sokongan S Pen Pada S21 Ultra

Buat pertama kalinya, siri Samsung Galaxy S menyokong penggunaan S-Pen. Tetapi buat masa ini, ia terhad kepada Galaxy S21 Ultra sahaja. Dengan sokongan pada siri Galaxy S, ini permulaan untuk Samsung tidak mengehadkan penggunaan stilus ini pada siri Galaxy Note sahaja. Khabar angin sebelum ini mungkin benar yang Galaxy Fold dan Z Flip juga mungkin akan menyokong S-Pen.
Penggunaan S Pen yang hadir secara meluas menambahkan produktiviti pengguna. Selain dari boleh membeli satu variasi sahaja dan tidak perlu beli model baharu jika dilancarkan di masa hadapan.
6. Ke Arah Pengalaman Android Asli

Samsung akhirnya mendengar permintaan pengguna untuk kurangkan aplikasi gendut dan buang Bixby. Dalam One UI 3.0 yang digunakan pada peranti ini, ia sudah menghampiri ke arah pengalaman penggunaan Android asli. Pertama, skrin utama tiada lagi ruangan Bixby sebaliknya secara lalai ditetapkan kepada Google Discover. Kemudian Samsung Message telah tidak digunakan, ia digantikan dengan Google Message untuk menggalakkan orang ramai menggunakan sistem RCS.
Google Assistant juga semakin mesra dan lebih lancar. Walaupun begitu, identiti Samsung dan One UI itu masih belum hilang. Seperti tetapan yang berat dengan tema, butang kuasa yang ditekan lama mengakses Bixby adalah tetapan lalai dan ada pilihan penggunaan Samsung Free. Ibarat kata Ramli Sarip “… dah dekat tapi jauh…”.
7. Rekaan Contour Cut Design

Nampak serupa, tetapi tidak seiras. Elemen rekaan Samsung masih jelas kelihatan. Tetapi perubahan besar yang ketara adalah pada rekaan bonggol kamera. Bonggol kamera kini disatukan dengan bingkai peranti dan kedudukan setiap lensa adalah rata. S21 adalah yang paling rata, S21+ terjungkit sedikit dan S21 Ultra paling teruk – tetapi lensa masih terlindung dan tidak akan mudah calar berbanding rekaan sebelum ini.
Samsung turut meneruskan penggunaan kemasan pusam, atau matte yang menjamin memberi perasaan sentuhan yang licin, tidak mudah kotor dan sedikit lebih cengkam.
8. Penggunaan UWB Semakin Meluas

Jika sebelum ini terhad kepada Note20 Ultra, pada Galaxy S21 kedua-dua Ultra dan Plus menerima sokongan UWB. UWB atau Ultra-wideband, adalah satu teknologi seakan WiFi dan Bluetooth, tetapi untuk jarak dekat dan menggunakan gelombang radio pada kadar frekuensi yang tinggi. Melaluinya, pelbagai perkara boleh dicari, dijejak atau dikawal.
Dengan pelancaran Galaxy SmartTag, iaitu penjejak objek – gabungan dengan UWB membolehkan objek dicari dengan lebih jitu. Tidak seperti GPS yang masih terhad. Selain itu, di masa hadapan UWB juga boleh digunakan untuk menyelarikan kunci kereta tahun 2022 ke dalam peranti. Tidak lupa juga sokongan UWB yang membolehkan fungsi seperti QuickShare dan Nearby Share menjadi lebih pantas untuk perkongsian fail.
9. Persediaan Masa Hadapan Dengan WiFi 6E

Ke arah perkembangan teknologi peranti berhubung, penggunaan UWB – WiFi menjadi peranan penting. Dengan sambungan WiFi, ia menentukan prestasi untuk sesuatu peranti berhubung berfungsi. Contohnya adalah kawalan antara telefon pintar ke peranti berhubung ada sela masa atau tidak. Selama ini peranti berhubung hanya menyokong WiFi 2.4GHz sahaja, hanya baru-baru ini menyokong 5GHz yang mana untuk jarak pendek, lebih efisien dan pantas.
Dengan ada WiFi 6E, iaitu penggunaan WiFi 6 ke atas gelombang 6GHz – sambungan WiFi bukan sahaja akan menjadi lebijh pantas, penggunaan kuasa juga kurang lantas memberi kesan kepada ketahanan bateri. WiFi 6 sebelum ini bergantung kepada 5GHz lagi, jadi dengan WiFi 6E ini prestasi WiFi 6 ke atas WiFi 6 voleh dicapai. WiFi 6 tidak akan menyebabkan saluran berlapis antara satu sama lain agar trafik tidak sesak.
10. One UI 3.1

Seperti biasa, sedang peranti-peranti tahun 2020 Samsung dan ke bawah menerima kemas kini One UI 3.0 – peranti baharu Samsung terus menjalankan versi lebih baharu iaitu One UI 3.1. Kebiasannya, One UI yang lebih baru ini eksklusif untuk peranti terkini sekurang-kurangnya beberapa bulan. Ini memberikan petanda yang pengedaran kemas kini Samsung sudah semakin pantas.
Selain dari sudah menuju ke pengalaman penggunaan Android asli, rekaan One UI 3.1 ini menggabungkan elemen Android asli dan One UI menjadikan ia lebih interaktif. Kawalan notifikasi yang lebih baik, rekaan tetapan yang lebih mudah faham, animasi yang pantas dan visual yang lebih ceria sambil kekalkan trend ikon rata.
Itu adalah apa yang kami rasa menarik ada pada siri Samsung Galaxy S21. Walaupun dari segi kamera tiada yang WOW, tetapi rekaan dan prestasi yang dibawakan membuatkan kami tidak sabar untuk jadikan peranti ini sebagai peranti harian. Pendapat anda pula bagaimana? Apakah yang anda rasakan menarik pada siri Galaxy S21 ini? Senaraikan di ruangan komen.