Carian
ASUS ROG Flow X13 Ialah Komputer Riba Gaming Nipis Dan Ringan Yang Menggunakan Sistem eGPU
January 15, 2021 Nazrin

Apabila membangunkan sebuah komputer riba, tidak kira untuk produktiviti ataupun riadah, biasanya jenama-jenama komputer akan berkompromi dari segi saiz ataupun spesifikasi.

ASUS ROG Flow X13 ialah komputer riba gaming nipis dan ringan terbaru daripada ASUS dimana mereka telah memisahkan komponen grafik daripada komputer riba melalui rangka eGPU yang membolehkan komputer riba ini kekal ringan, tetapi hadir dengan pilihan grafik berkuasa apabila diperlukan.

Bermula dengan bahagian komputer riba ROG Flow X13 ini, ia adalah sebuah komputer riba 2-dalam-1 dimana bahagian paparannya boleh dipusing 360 darjah untuk dijadikan sebuah tablet.

Ia dilengkapi dengan paparan skrin IPS sesentuh bersaiz 13 inci, dengan pilihan resolusi Full HD 120Hz ataupun 4K 60Hz dengan nisbah paparan 16:10 yang kini dilihat banyak digunakan pada komputer-komputer riba yang diumumkan kebelakangan ini.

Beralih kepada spesifikasi dalaman, komputer riba ini dikuasakan oleh CPU AMD Ryzen terbaru, iaitu AMD Ryzen 9 5980HS, memori DDR4 sehingga 32GB dan storan dalaman SSD NVMe PCIe sebesar 1TB. Dari segi cip pemprosesan grafik terbina, ia dilengkapi dengan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce GTX1650 didalamnya.

Apa yang membuatkan komputer riba ini unik ialah penggunaan rangka eGPU ASUS yang tersendiri, iaitu ROG XG Mobile. Tidak seperti rangka eGPU yang lain, ia hadir dengan saiz yang jauh lebih padat, tetapi masih lagi mengandungi pilihan GPU yang terkini, khususnya NVIDIA GeForce RTX 3080 Max-Q yang terbaru.

eGPU ROG XG ini disambungkan ke komputer riba ROG Flow X13 melalui sebuah kabel berkelajuan tinggi yang membolehkan pengguna memanfaatkan kemampuan grafik eGPU ini sepenuhnya.

Bukan itu sahaja, eGPU ini turut merumahkan sejumlah besar palam I/O, termasuklah empat palam USB 3.2, satu palam HDMI, satu palam DisplayPort dan juga satu palam RJ-45 CAT-5 untuk sambungan internet berwayar.

Dari segi jangkahayat bateri, ASUS menjanjikan bahawa ROG Flow X13 ini mampu digerakkan selama sekitar 10 jam dengan satu pengecasan penuh, dan oleh kerana bongkah pengecasnya menggunakan kabel 100W, komputer riba ini boleh dicas dari 0 ke 50 peratus bateri dalam masa setengah jam sahaja.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah ASUS ROG Flow X13 ini iakan ditawarkan mahupun tanda harganya.

Komen