Cari @ Amanz

Tahun 2021 ini menyaksikan pelbagai negara bersedia dalam mengimplementasi vaksin kepada rakyat-rakyat mereka, termasuk Malaysia. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sedia berkongsi perancangan dari semasa ke semasa, dan hari ini turut berkongsi penuh berkaitan dengan perancangan mevaksin rakyat tempatan.

Mengikut jadual semasa, Malaysia dijangka akan menerima vaksin secara berperingkat, bermula seawal Februari 2021 ini.

Beliau turut mengatakan pelan vaksin Malaysia menjangkau selama 18 bulan, dan kerajaan menyasarkan untuk mevaksin seramai mungkin dalam tempoh tahun pertama ini.

Bercakap untuk vaksin, untuk fasa pertama, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi. Ini adalah termasuk mereka dalam sektor kesihatan dan juga sekuriti. Selepas itu, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik dan juga warga tua.

Untuk orang ramai yang sihat, berumur bawah 60 tahun dan bukannya petugas barisan hadapan, anda dijangka menerima vaksin bermula suku ketiga 2021.

Pelan ini juga adalah selari dengan sejumlah negara lain di dunia.

Mengikut tempahan yang telah dilakukan, kita akan menerima 1 juta dos vaksin Pfizer pada suku pertama 2021 ini, 1.7 juta dos pada suku kedua, 5.8 juta dos pada suku ketiga, dan 4.3 juta dos pada suku ke-4. Tempahan vaksin daripada pengeluar lain juga adalah berperingkat – selari dengan permintaan vaksin yang sangat tinggi di dunia, sementara kadar keupayaan pengeluaran yang rendah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd