Cari @ Amanz

Pada hari ini, pelbagai syarikat membangunkan teknologi swapandu berdasarkan kepada sensor yang disertakan pada kereta, termasuk LiDAR dan sebagainya. Ia lebih kepada mengenal-pasti persekitaran sahaja – tetapi bukannya berkomunikasi dan berhubung dengan persekitaran untuk mendapatkan maklumat lebih jitu.

Apa pun, Huawei dilihat mempunyai sebuah lagi langkah drastik, dengan turut membangunkan infrastruktur jalan raya pintar untuk tujuan kenderaan swapandu.

Dalam ujian yang dilakukan, jalan raya sepanjang 4km di bandar Wuxi yang diuruskan oleh Huawei, menyertakan sejumlah sensor, kamera dan radar – termasuk pada tiang di tepi jalan, lampu trafik, dan juga jalan raya tersebut sendiri.

Huawei Car Kereta

Teknologi yang dibangunkan ini berhubung dua hala. Kenderaan swapandu boleh menghantar maklumat kepadanya, dan begitu juga sebaliknya. Dengan langkah ini, ia menjadikan keselamatan penumpang dalam kenderaan lebih terjamin – memandangkan lebih maklumat berkaitan persekitaran dihimpunkan dan analisa.

Langkah ini juga memberikan informasi masa-nyata berkaitan keadaan jalan raya, pejalan kaki, kenderaan lain, cuaca, dan pelbagai perkara lain berkaitan persekitaran.

Huawei sedia terkenal dengan penawaran infrastruktur telekomunikasi mereka, sebelum memperluaskan penawaran peranti mudah-alih seperti telefon. Mungkin langkah sama turut diambil untuk arena automotif oleh syarikat berkenaan.

Huawei sebelum ini telah mengatakan mereka lebih berminat dalam membangunkan teknologi, perisian dan peralatan komunikasi untuk automotif – berbanding mengeluarkan kenderaan elektrik mereka tersendiri.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd