Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia kini mengumumkan mereka telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan Kes Ciapan Tidak Senonoh Tahun 2014 di Akaun Rasmi Twitter SKMM.
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital), KKMM dan dianggotai oleh empat orang ahli Jawatankuasa.
Jawatankuasa ini akan melakukan siasatan terperinci bermula esok, 15 Januari 2021 berkenaan masalah Tweet tidak senonoh elalui akaun SKMM. Jawatankuasa ini juga akan mengenal-pasti punca melalui penelitian dokumen, peraturan, kaedah pengendalian dan pihak-pihak yang terlibat serta kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyalahgunaan atau penyelewangan.
Tindakan yang bersesuaian turut akan disyorkan, antaranya termasuk tindakan tatatertib, surcaj, membuat laporan polis atau laporan SPRM, atau tindakan sivil di mahkamah terhadap pihak terlibat.
KKMM sekali lagi menekankan yang mana kajian akan dilaksanakan secara telus.
Sebelum ini, pada awal minggu ini, kita telah melihat sejumlah Tweet-Tweet lama dari akaun SKMM dikongsikan semula pada media sosial melalui ciri Retweet. Hal ini kebiasaannya berlaku apabila sesuatu akaun Twitter berkenaan dibeli – disebabkan oleh angka pengikut untuk tujuan pemasaran, dan terlupa memadam sepenuhnya Tweet-Tweet lama pada akaun tersebut.
Apa pun, lanjutan masalah berkenaan, pihak SKMM mengatakan akaun mereka telah diceroboh.