Samsung hari ini telah pun melancarkan siri telefon pintar mercu mereka untuk tahun 2021, iaitu siri Samsung Galaxy S21 dan Samsung Galaxy S21+. Kedua-dua peranti ini mempunyai rekaan dan spesifikasi yang setanding yang diharap dapat mengukuhkan kedudukan Samsung sebagai pengeluar telefon pintar nombor satu dunia.

Samsung Galaxy S21 hadir dengan skrin 6.2-inci FHD+ Dynamic AMOLED 2x, dijana cip Exynos 2100, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB, dan bateri 4000mAh. Ia menggunakan tri-kamera belakang gabungan 12MP + 12MP + 64MP, sementara kamera swafoto 10MP. Konfigurasi kamera pada Galaxy S21 5G sebenarnya sama dengan S20 tahun lalu cuma penambahbaikan kepada ciri serta prestasi.
Samsung Galaxy S21+ pula ditawarkan dengan skrin 6.7-inci FHD+ Dynamic AMOLED 2X, memori sehingga 8GB RAM, storan sehingga 256GB, bateri 4800mAh. Untuk rakaman gambar, ia menyertakan empat kamera belakang, iaitu 12MP + 12MP + 64MP serta kamera swafoto 10-megapixel. Dengan perkongsian sistem tri-kamera, kedua-duanya juga menyokong zum sehingga 30X serta rakaman video 8K.

Tahun ini Samsung melakukan perkara mengejutkan kerana kedua-dua S21 dan S21+ tidak lagi ditawarkan dengan skrin beresolusi WQHD+. Sebaliknya ia sekadar diberikan sokongan kadar segar semula adaptif seperti yang diperkenalkan pada siri Galaxy Note20 tahun lalu.
Seperkara lagi skrin ini mampu memberikan kadar semula di antara 40-120Hz bergantung kepada aplikasi bagi mengurangkan penggunaan bateri. Dari segi pengimbas cap jari pula, kawasan imbasan kini 1.7 kali lebih besar dan imbasan adalah 50X lebih pantas.

Menerusi siri S21, rekaan baharu Contour Cut Design diperkenalkan. Dengan rekaan ini bahagian bingkai dan bonggol kamera kini bercantum. Tidak berakhir di situ skrin pada kedua-dua model juga adalah rata dengan saiz bezel yang kecil. Masih tiada sistem kamera bawah skrin digunakan dan sebuah lubang kamera boleh dilihat untuk kamera swafoto.
Dari segi pengecasan pula, kedua-duanya menyokong pengecasan pantas 25W, nirwayar 15W dan Wireless PowerShare. Samsung masih belum bersedia memberikan sistem pengecasan yang lebih pantas untuk siri Galaxy S tahun ini walaupun pengecas 65W mereka telah tertiris beberapa hari yang lalu. Yang mereka telah bersedia ialah tiada lagi pengecas dan fon kepala dengan setiap pembelian.

Dari segi sambungan selular pula, rangkaian 5G Sub 6 boleh digunakan. Malang sekali di Malaysia, 5G hanya akan muncul dalam masa dua tahun. Meneruskan spesifikasi ialah pembesar suara Dolby Atmos, WiFi 6E, bluetooth 5.1 dan kemampuan kalis air IP68.
Di Malaysia Samsung Galaxy S21 ditawarkan pada harga RM 3699 untuk 8/256GB dalam warna Phantom Violet, Phantom Gray, Phantom White dan Phantom Pink. Samsung Galaxy S21+ pula pada harga RM4299 untuk 8/256GB dalam warna Phantom Violet, Phatom Silver dan Phantom Black.