Cari @ Amanz

Selain Samsung Galaxy S21 dan Samsung Galaxy S21+, sebuah lagi peranti iaitu Samsung Galaxy S21 Ultra juga dilancarkan secara rasmi hari ini. Sebagai mode Ultra, ia mempunyai spesifikasi yang terbaik di antara ketiga-tiga model yang dilancarkan.

Samsung Galaxy S21 Ultra hadir dengan skrin 6.8-inci WQHD+ Dynamic AMOLED 2x, dijana cip Exynos 2100, memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 512GB, dan bateri 5000mAh. Ia menggunakan kuad-kamera belakang gabungan 108MP + 12MP + 10MP + 10MP, sementara kamera swafoto 40MP. Konfigurasi kamera pada Galaxy S21 5G kali ini adalah berbeza berbanding tahun lalu kerana penggunaan dua sistem lensa telefoto.

Satu lensa telefoto memberikan zum optikal sehingga 3X manakala satu lagi memberikan zum optikal sehingga 10X dengan mekanisme periskop. Menerusi sistem periskop yang sama, zum digital Space Zoom sehingga 100X dapat dinikmati pengguna. Mendengar rungutan pengguna tahun lalu, sistem Zoom Lock diperkenalkan bagi memberikan zum yang stabil seperti menggunakan tripod walaupun pada tetapan zum tertinggi.

Skrin beresolusi WQHD+ kini akhirnya menyokong kadar segar semula adaptif 120Hz. Kadar semula di antara 10-120Hz akan berubah mengikut keperluan aplikasi bagi mengurangkan penggunaan bateri. Dari segi pengimbas cap jari ultrasonik bawah skrin pula, kawasan imbasan kini 1.7 kali lebih besar dan imbasan 50X lebih pantas.

Tidak berakhir di situ skrin tahun ini juga lebih rata dengan lengkungan sisi yang tidak begitu ketara di samping sokongan stylus S Pen. Samsung menawarkan dua S Pen untuk S21 Ultra. S Pen biasa tanpa bluetooth dan S Pen Pro dengan sokongan bluetooth bagi menyokong Air Gesture. Namun begitu sistem imbasan nadi bawah skrin seperti Mi 11 tidak disertakan.

Menerusi siri S21 Ultra, rekaan baharu Contour Cut Design diperkenalkan. Dengan rekaan ini bahagian bingkai dan bonggol kamera kini bercantum. Bonggol masih lagi agak besar dan tinggi tetapi kini sekurang-kurangnya diperbuat daripada bongkah logam yang tahan lasak

Dari segi pengecasan pula, kedua-duanya menyokong pengecasan pantas 25W, nirwayar 15W dan Wireless PowerShare. Samsung masih belum bersedia memberikan sistem pengecasan yang lebih pantas untuk siri Galaxy S tahun ini. Seperti pada S21 dan S21+, S21 Ultra juga tidak dijual dengan pengecas serta fon kepala di dalam kotak. Hanya sebuah kabel USB-C ke USB-C sahaja disertakan.

Dari segi sambungan selular pula, rangkaian 5G Sub 6 boleh digunakan. Malang sekali di Malaysia, 5G hanya akan muncul dalam masa dua tahun. Meneruskan spesifikasi ialah pembesar suara UWB, Dolby Atmos, WiFi 6E, bluetooth 5.1 dan kemampuan kalis air IP68.

Di Malaysia Samsung Galaxy S21 Ultra ditawarkan pada harga RM 5299 untuk 12/256GB dan RM 5899 untuk 16/512GB dalam warna Phatom Silver dan Phantom Black.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd