Tahun 2021 setakat ini masih mengecewakan sehinggakan orang kata kita masih di bulan Disember 2020. Tetapi apakan daya, kita harus bertabah dan terima seadanya dan anggap sahaja ini adalah ujian kesabaran dari Si Dia. Astro Slide mungkin akan menjadi berita yang menghiburkan hati anda semua. Ia adalah telefon pintar dengan papan kekunci fizikal 5G pertama.
Peranti ini adalah peranti boleh gelungsur, di mana skrin boleh diasingkan dengan papan kekunci fizikal QWERTY. Skrin adalah 6.39-inci AMOLED, ia dijana MediaTek 800 dengan memori 8/128 GB, bateri 3500mAh, Bluetooth 5.1, WiFi 5, kamera utama 48MP dan kamera swafoto 13MP, dan menjalankan Android 11.
Peranti ini turut digelar sebagai peranti komuniti, seperti zaman OnePlus One. Ia menyokong banyak sistem operasi, yang mana yang utama adalah Android 11 dan turut menyokong Linux. Terdapat pengimbas cap jari di sisi yang turut berfungsi sebagai butang kuasa. Ia juga mempunyai butang tambahan untuk akses pintas ke aplikasi kegemaran.

papan kekunci yang digunakan adalah jenis taktil dan berlampu untuk mudah ditaip pada waktu malam. Peranti ini menggunakan rekaan engsel tersendiri RockUp, dikatakan seakan komputer riba tetapi dikecilkan untuk telefon pintar. Peranti ini sudah diperkenalkan sejak bulan Mei 2020, tetapi akhirnya bersedia untuk dijual. Tetapi penghantaran adalah pada bulan Jun ini. Peranti ini dikatakan pada awalnya ingin menggunakan cip MediaTek 1000, tetapi MediaTek tidak dapat menepati permintaan tempahan yang kecil untuk Astro Slide.

Harga jualan adalah $644, iaitu sekitar RM2605. Harga ini tidak masuk akal untuk peranti dengan spesifikasi rendah dan sokongan berasaskan forum. Ia adalah peranti untuk peminat setia komuniti.