Carian
Demo Windows 10X Diperlihatkan – Seakan Chrome OS Dengan Tema Windows 10
January 15, 2021 Fahim Zahar

Windows 10X adalah jawapan Microsoft kepada Google Chrome OS dan Apple iPadOS. Ia adalah sistem operasi serba baharu yang dibina dari awal, untuk penggunaan yang lebih ringan sambil mengekalkan elemen Windows 10. Windows 10X juga disasarkan untuk peranti mampu milik dan/atau peranti dengan dwi-skrin atau skrin boleh-lipat.

Baru-baru ini, tangkapan layar Windows 10X untuk skrin pertama telah tertiris. Kini, Windows Central telah dapat mencuba sendiri sistem operasi baharu ini. Berdasarkan video ini, Windows 10X amat mirip dengan Chrome OS dengan sedikit elemen iPadOS. Windows 10X tidak akan dapat menjalankan aplikasi atau perisian legasi .exe, sebaliknya terhad kepada aplikasi dalam Microsoft Store sahaja.

Windows 10X boleh dikatakan adalah iterasi baharu Microsoft untuk Windows RT. Amat jelas Start Menu baharu dan Taskbar ini mengambil inspirasi Chrome OS, aplikasi pengurus fail yang asas seperti Files dalam iOS serta talam notifikasi yang mirip Android. Ia dilihat amat ringkas, mudah digunakan dan sekadar menyelesaikan kerja yang ringkas atau tugasan mudah, mungkin ini akan menjadi sistem operasi pilihan orang ramai.

Menjadi persoalan, adakah akan ada pembangun setia dengan sistem operasi ini dan teruskan pembangunan. Atau terpaksa bergantung kepada perisian pihak pertama, iaitu dari Microsoft sahaja? Sama-sama kita nantikan.

Komen