Carian
Intel Memperkenalkan NUC 11 Enthusiast, Komputer Padat Yang Dikuasakan CPU Tiger Lake Dengan Fokus Kepada Gaming
January 15, 2021 Nazrin

Komputer Next Unit of Computing, ataupun lebih dikenali sebagai NUC ialah konsep komputer padat yang diperkenalkan oleh Intel untuk menunjukkan bahawa sebuah komputer tidak perlu mempunyai saiz yang besar untuk menjalankan pelbagai fungsi perkomputeran harian.

Dengan kemajuan teknologi, kita dapat lihat bahawa konsep NUC ini semakin berubah dan hadir dengan ciri-ciri baru yang boleh dipadatkan dalam sebuah saiz kotak kecil.

Dan terkini, mereka telah memperkenalkan Intel NUC 11 Enthusiast, sebuah lagi komputer padat yang kini memfokuskan kepada prestasi gaming pula.

Intel NUC 11 Enthusiast, yang hadir dengan kod nama Phantom Canyon hadir dengan komponen dalaman yang cukup berkuasa. Ia dilengkapi CPU Intel Core i7-1165G7, tetapi pengguna akan perlu membeli memori dan storan mereka sendiri.

Selain dilengkapi cip pemprosean grafik intel Iris Xe terbina, ia juga dilengkapi kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 untuk pengalaman gaming pada resolusi Full HD dan kadar segar semula tinggi yang sangat baik.

Komputer NUC Phantom Canyon ini juga dilengkapi sejumlah port I/O seperti enam port USB 3.2 Type-A, HDMI 2.0b, miniDisplayPort 1.4, satu palam Thunderbolt 4, satu port RJ-45 CAT-5 dan satu pembaca kad SD.

Oleh kerana komputer ini dikuasakan CPU Intel Tiger Lake, ia turut hadir dengan sokongan rangkaian WiFi6 yang pantas.

Buat masa ini, Intel masih belum memperlihatkan tanda harga komputer ini, tetapi kedai atas talian SimplyNUC telah meletakkan harga komputer ini dengan konfigurasi memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD 128GB pada harga $1349 (~RM4639).

Komen