Audio spatial ialah ciri yang setakat ini disokong pada peranti Apple, Samsung dan Sony. Ciri audio 360 darjah ini menarik tetapi setakat ini sokongannya adalah mengecewakan sehingga sekadar menjadi gajah putih. Tetapi menurut laporan laman iPhonsoft, Netflix telah memulakan ujian audio spatial untuk AirPods Pro dan AirPods Max.
Laman memetik sumber kakitangan di Netflix yang mendakwa audio spatial akan disokong pada beberapa kandungan terpilih pada musim bunga ini. Dengan audio spatial, audio yang didengari menerusi aksesori audio bergerak mengikut orientasi kepala. AirPods Pro dan Max mungkin menjadi aksesori terawal disokong kerana jumlah pengguna yang tinggi berbanding aksesori audio nirwayar lain di pasaran.