Pada hari ini, telefon pintar sedia menggantikan dompet. Ada kalanya kita tertinggal membawa dompet atau kunci, tetapi bukannya telefon. Menyedari perkara ini, beberapa pengeluar telah mula mengintegrasikan sokongan kunci kenderaan pada telefon.
Samsung kini turut tidak ketinggalan, dan mengumumkan kerjasama bersama beberapa jenama kenderaan – yang akan membolehkan anda menggunakan siri Galaxy S21 sebagai kunci kenderaan.
Rakan kerjasama yang diumumkan adalah termasuk Audi, BMW, Ford dan juga Genesis.

Untuk tujuan ini, Samsung dijangka menggunakan teknologi UWB (Ultra Wide Band), yang membolehkan kenderaan mengenal-pasti pengguna apabila berada berdekatan dengan kenderaan. Selain daripada kunci, ia juga akan membolehkan pengguna mengetahui kedudukan kenderaan di tempat letak kereta dengan mudah.

Disamping itu, pengguna juga turut boleh berkongsi kunci secara digital dengan pengguna lain – tanpa mengira platform atau peranti.
Samsung baru sahaja mengumumkan kerjasama ini, dan dijangka memperkenalkan ciri ini kepada pengguna siri Galaxy S21 kelak pada tahun ini.