Canon ialah sebuah jenama teknologi pengimejan yang terkenal untuk siri kamera dan juga mesin pencetak mereka. Di acara CES pada tahun ini, mereka mencuba sesuatu yang lain daripada yang lain, dimana mereka melancarkan sebuah laman web yang membolehkan pengguna untuk mengambil gambar daripada sebuah satelit.

Satelit tersebut, yang dinamakan CE-SAT-1 adalah sebuah satelit kecil dengan saiz sebuah tong yang dimuatkan dengan dua buah kamera, iaitu Canon EOS 5D Mark III dengan lensa teleskop 3720mm dan juga Canon PowerShot S110 untuk pengambilan gambar dengan sudut lebar.

Satelit CE-SAT-1 ini telah dibina sejak 2017, dan Canon baru sahaja mengumumkan bahawa ia kini sedang mengorbit Bumi pada jarak 600KM yang membolehkan kamera-kamera ini mengambil gambar didalam bingkai jarak 4.8KM x 3.2KM.

Orang ramai boleh melihat pemandangan daripada satelit ini, dan mengambil gambar beberapa lokasi terpilih seperti New York, Bahamas, Alaska, Dubai dan juga kilang Canon di daerah Akagi.

Menurut Canon, satelit CE-SAT-1 ini adalah sebuah eksperimentasi penggunaan satelit yang ringkas, padat dan mampu milik, dan boleh digunakan untuk tujuan pemantauan dari angkasa lepas, seperti keadaan ais di Antartika dan sebagainya.

Oleh kerana projek ini masih lagi dalam fasa ujian, gambar-gambar yang boleh diambil oleh orang ramai melalui laman web ini adalah gambar yang telahpun diambil sebelum ini oleh satelit tersebut.