Pada minggu lalu, kami telah melaporkan bahawa Microsoft telah memperkenalkan kemaskini terbaru kepada tablet Surface Pro mereka dengan Microsoft Surface Pro 7+.

Dari segi rekaan luaran, tiada apa yang berubah, tetapi ia kini hadir dengan pilihan siri CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake, dan juga penaiktarafan kepada jangkahayat bateri selama 15 jam.
Selain daripada itu, ia juga mempunyai sokongan untuk sambungan LTE-A untuk mereka yang bekerja dari luar rumah dan pejabat dan memerlukan sambungan internet yang stabil.

Dari segi spesifikasi dalaman, Microsoft menawarkan pilihan memori DDR4 sehingga 32GB dan storan SSD NVMe sebesar 1TB yang boleh ditukar jika diingini.

Menurut Microsoft Malaysia, tablet Surface Pro 7+ ini sudahpun mula dipasarkan untuk pasaran tempatan, dan telah memperlihatkan tanda harganya, dimana harga permulaan model WiFi sahaja adalah sebanyak RM4115, manakala harga permulaan model LTE-A ialah RM5314.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tablet Microsoft Surface Pro 7+ ini dan dimana anda boleh membelinya, anda boleh melayari laman web Microsoft Malaysia.