Waris Samsung Group, Lee Jae-Yong kini diarahkan kembali ke penjara selama dua tahun enam bulan disebabkan oleh kesalahan rasuah. Lee Jae-Yong merupakan anak kepada Lee Kun-hee yang telah meninggal dunia pada bulan Oktober lepas.
Sebelum ini, Lee Jae-Yong telah dituduh merasuah kawan bekas presiden dalam memenangi sokongan kerajaan untuk beliau menerajui Samsung menggantikan ayah beliau.
Lee Jae-Yong sedia menerajui syarikat gergasi berkenaan untuk beberapa tahun sebelum ini. Walaupun beliau masih boleh terus melakukan beberapa pengurusan syarikat dari penjara, tetapi ia dijangka akan memberikan impak untuk keputusan berkaitan pelaburan berskala besar oleh Samsung.
Sebelum ini, Lee telah dipenjara selama lima tahun pada 2017 yang lepas. Tetapi, rayuan yang dilakukan pada tahun seterusnya telah menangguhkan sementara hukuman berkenaan. Tidak lama selepas itu, Mahkamah Agung telah mengarahkan Lee untuk melalui perbicaraan kembali.
Ramai penganalisa menyasarkan yang mana Samsung akan terus melalui perkembangan positif pada tahun ini disebabkan oleh permintaan komponen yang tinggi, selain permintaan peranti tinggi disebabkan oleh PKP.