Pada hari ini, arena telefon boleh-lipat sedia diterajui oleh Samsung dengan penawaran siri Galaxy Z Fold dan juga Galaxy Z Flip. Untuk tahun ini, sejumlah pengeluar baru dijangka akan memperkenalkan alternatif tersendiri, termasuk Xiaomi, dan juga Oppo.
Bercakap mengenainya, Apple kini dilaporkan sedang memulakan kajian dan membangunkan prototaip iPhone dengan skrin boleh-lipat secara dalaman.
Buat masa ini, ia diperkatakan masih pada peringkat awal pembangunan, dan fokus diberikan terhadap skrin paparan sahaja. Pembangunan peranti penuh mungkin mengambil masa beberapa tahun lain.
Memandangkan ia masih pada peringkat prototaip, tidak mustahil juga perancangan ini berubah – apatah lagi dengan penggunaan peranti dengan skrin boleh-gulung dilihat lebih menarik berbanding penggunaan skrin boleh-lipat.
Menurut laporan Bloomberg, Apple ingin membangunkan telefon dengan skrin boleh-lipat yang mempunyai bahagian engsel yang tersembunyi dan tidak kelihatan seperti pada beberapa peranti lain hari ini.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut berkaitan pembangunan Apple dalam arena skrin boleh-lipat ini.