Di bawah inisiaitif Perjalanan Token Tunggal, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal melaksanakan teknologi pengimbasan wajah secara menyeluruh – sekaligus memudahkan pengguna untuk bergerak dari lapangan terbang ke pintu penerbangan dengan pantas dan mudah.
Fasa pertama pelaksanaan teknologi ini dikatakan akan bermula pada pertengahan pertama tahun ini. Melaluinya, ia akan dilaksanakan secara menyeluruh – di mana para penumpang tidak perlu lagi menunjukkan tiket penerbangan atau pas masuk di kesemua pintu. Ia termasuk bermula daripada proses pendaftaran masuk sehingga pelepasan. Proses pengesahan untuk setiap satu pintu akan mengambil masa sekitar lima saat.
Untuk fasa pertama pengenalan pada pertengahan pertama 2021 ini, sebanyak 50 kiosk layan diri, 20 kaunter pendaftaran, dan 56 pintu sekuriti akan dilengkapkan dengan sokongan teknologi pengecaman wajah.
Pada masa sama, teknologi ini juga dikatakan akan diintegrasi dengan aplikasi MYairports bagi membolehkan penumpang membuat pendaftaran pengesahan wajah lebih awal sebelum tiba di lapangan terbang. Selain, turut memudahkan penumpang warga negara asing untuk menggunakan Immigration Autogate.
Pengenalan teknologi ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa daripada beratur panjang di kaunter. Sebaliknya, turut mengurangkan pemasalahan penggunaan identiti palsu. Ia juga bakal diperluaskan kelak untuk sejumlah akses lain termasuk pembelian runcit.