Kapal terbang adalah antara mod pengangkutan yang paling mencemarkan kerana pembebasan gas Nitrogen Oksida (NOx) yang beracun dan bunyi bising yang dihasilkan dari enjin jet. Pembangunan pesawat penumpang elektrik sedang giat dilancarkan dengan penggunaan enjin elektrik dilihat dapat menyelesaikan isu semasa. Tetapi kemampuan bateri semasa membuatkan pesawat elektrik dengan jarak operasi yang memuaskan masih belum boleh dicapai.
Oleh itu ramai melihat pesawat elektrik hibrid sebagai antara penyelesaian jangka pendek. Namun begitu enjin bahan api fosil yang digunakan untuk menjana bekalan elektrik untuk pesawat seperti ini masih lagi menghasilkan pencemaran yang tinggi.

Di MIT, jawapan kepada pencemaran ialah meletakkan enjin bahan api fosil di ruang kargo dengan sistem penapisan terbina. Enam enjin elektrik beroperasi dengan tenaga elektrik yang dijana dari dua enjin konvensional. Wasap NOx yang dilepaskan kemudiannya menjalani proses penapisan yang mengurangkan kadar pencemaran sehingga 95%.
Sistem ini menurut mereka hanya meningkatkan penggunaan bahan api sekitar 0.6%. Rekaan ini sebenarnya bukanlah baru tetapi diambil dari sistem penapisan NOx yang biasa digunakan pada lori diesel. Kelebihan sistem yang lain ialah penambahan berat sehingga beberapa ratus kilogram sahaja dan bukanya beribu kilogram sekiranya sistem bateri digunakan sepenuhnya. Kertas kajian telah diterbitkan di jurnal Energy & Environmental Science.