Cari @ Amanz

Mediatek baru sahaja memperkenalkan barisan cip terkini mereka dan salah satu daripadanya adalah MediaTek Dimensity 1200. Difahamkan, peranti dengan janaan cip berkenaan dijangka hadir sekitar penghujung bulan Mac atau awal April kelak. Antara pengeluar yang telah mengesahkan bakal hadir dengan peranti bersama janaan salah satu cip berkenaan adalah Realme.

Jenama ini turut telah memuat naik satu poster acah menerusi laman Twitter dengan mengatakan bahawa ia bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Bagaimanapun, peranti yang dimaksudkan itu masih kekal rahsia kerana info lanjut termasuk berkaitan nama model juga masih tidak diketahui.

Biarpun belum ada kepastian, namun terdapat sumber mengatakan peranti berkenaan mungkin dikenali sebagai Realme X9 Pro. Peranti ini juga dipercayai bakal menggunakan kamera utama 108-Megapixel, skrin kadar segar semula 120Hz dan pengecasan pantas 65W bersama bateri sebesar 4,500mAh.

Pun begitu, perlu diingatkan maklumat dikongsi ini masih lagi diperingkat ura-ura dan belum diketahui mengenai kesahihannya. Tapi jika ianya benar, kita boleh menyasarkan bakal melihat peranti Realme dengan sensor kamera utama lebih besar kelak.

Sekadar selingan, di samping Realme, beberapa pengeluar lain seperti Xiaomi, Vivo and Oppo juga dikatakan bakal hadir dengan peranti bersama janaan cip terkini daripada MediaTek ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd