Xiaomi Mi Watch baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga RM469 sahaja. Mi Watch adalah jam tangan pintar asas dari Xiaomi yang bersaing dengan Realme Watch atau Amazfit GTR 2. Jam ini menjalankan sistem operasi tersendiri dan menawarkan banyak fungsi dan ciri yang menarik.
Untuk tidak mengelirukan, Mi Watch ada banyak variasi. Nama Mi Watch itu sendiri adalah untuk jam tangan pintar pertama Xiaomi yang menjalankan sistem operasi MIUI For Watch berasaskan Android Wear. Ia juga menggunakan skrin segi empat seakan Apple Watch. Mi Watch yang dijual di Malaysia ini adalah Mi Watch Color atau Mi Watch Revolve yang dijual di China dan India – yang mana adalah jam tangan pintar asas sahaja.
Dengan mempunyai lebih banyak pilihan jam tangan pintar asas, adakah Xiaomi mampu bersaing dengan jenama lain? Adakah Mi Watch ini cukup baik dan cukup berkuasa? Saya telah memakai Mi Watch ini untuk beberapa hari, ini adalah pendapat awal saya.
Spesifikasi Dan Rekaan
Xiaomi Mi Watch | |
---|---|
Skrin | 1.39” AMOLED 454 x 454 Always-On Display |
Pemproses | – |
Memori | – |
Sistem Operasi | Tersendiri |
Perlindungan | 5ATM |
Bateri | 420mAh |
Sensor | Pengimbas Nadi PPG, Giroskop, Pemecut, Geomagnetik, Tekanan Udara & Cahaya Ambien GPS,GLONASS, Galileo, BDS |
Lain-Lain | Bluetooth 5.0 |
Pengecasan | Sambungan Pin POGO Pada Dermaga Khas |
Bahan Binaan | Gentian Kaca Poliamida Yang Diperkuat TPU |
Ketahanan Bateri | Ringan: Mencapai 16 hari Ekstrem: 50 jam Jimat Bateri: 22 hari |
Harga | RM469 |
Mi Watch menggunakan rekaan skrin bulat, tebal, dan juga warna yang sedikit ceria. Dalam imej pengolokan, ia kelihatan premium dan mewah. Tetapi apabila berada di tangan, jam ini kelihatan sedikit seperti jam kanak-kanak. Kerangka jam ini diperbuat dari gentian kaca poliamida yang diperkuat. Ia amat ringan iaitu sekitar 32g. Kemudian ia dipadankan pula dengan tali jam yang diperbuat daripada TPU dengan perasaan sedikit bergetah dan menjadikan jam ini sedikit berat.

Ia selesa di tangan, ringan, tapi tidak cukup ringan untuk seperti tidak rasa memakai apa-apa. Ia memberi sedikit beban yang mengingatkan saya ia adalah jam yang premium. Skrin jam ini bersaiz 1.39-inci panel AMOLED dengan resolusi 454 x 454. Cip pemprosesan dirahsiakan, tetapi ia menyokong Bluetooth 5.0, mempunyai sejumlah sensor penting seperti pengimbas nadi, giroskop, pemecut, geomagnetik, tekanan udara dan cahaya ambien. GPS turut terbina pada jam ini.

Bateri adalah 420mAh dengan pengecasan dermaga tersendiri serta mempunyai perlindungan air 5ATM. Keseluruhan, jam ini dilihat menawarkan seakan jam tangan pintar sebenar. Tetapi ia hanya sepasang jam tangan pintar asas yang cuba kelihatan hebat.
Pengalaman Penggunaan
Skrin AMOLED pada Mi Watch kelihatan seakan melihat jam tangan pintar premium dengan skrin yang sama. Ia sangat cantik, cerah, warna juga tajam dan sedap mata memandang. Tidak kira di luar atau di dalam, skrin boleh dilihat degan jelas, tiada kesan pixelated dan ikon yang jelas. Sistem operasi jam ini adalah tersendiri, tetapi ia cuba mimik MIUI for Watch yang berasaskan Wear OS.

Sistem operasinya ringkas dan memberikan pengalaman pengunaan seakan Wear OS. Ia sangat lancar, sangat pantas dan sangat memuaskan. Ia mempunyai sokongan seakan Tiles, yang mana aplikasi-aplikasi penting dipaparkan dalam bentuk yang lebih ringkas dengan data yang penting. Ia mempunyai talam notifikasi yang memaparkan notifikasi dengan sangat jelas, talam tetapan yang memaparkan akses pintas kepada Do Not Disturb, pencarian peranti dan sebagainya. Ia juga mempunyai talam aplikasi yang dipaparkan dalam bentuk grid.

Menggunakan jam ini sangat seronok dan terasa seperti Wear OS yang sangat berkuasa. Mod sukan juga banyak, pemantauan tidur yang boleh saya katakan cukup jitu, mampu mengesan kandungan oksigen dalam darah, megimbas nadi secara 24 jam, fungsi senaman bernafas dan banyak lagi. Fungsi lain seperti cuaca, penggera, getaran turut disertakan.
Jam ini mempunyai getaran yang ringan, tetapi tidak cukup baik. Mi Band mempunyai getaran yang lebih baik. Ia juga menawarkan ratusan muka jam menarik, dari yang statik atau juga yang beranimasi.
Untuk fungsi senaman, saya tidak dapat menguji dengan sepenunya kerana mempunyai pergerakan yang terhad sejak mula bekerja dari rumah. Banyak data yang diperoleh adalah tidur dan jumlah langkah yang pendek. Tetapi setakat ini, mengimbas nadi, menyemak kandungan oksigen dalam darah kelihatan pantas dan baik sahaja. Lebih kurang seperti menggunakan TicWatch Pro 3 GPS.

Untuk GPS, disebabkan ia terbina dari dalam jam. Ini bermakna anda tidak memerlukan peranti ketika sedang berjoging atau berlari. Ia masih boleh merekodkan data yang tepat. Tetapi untuk data itu, akan kami jelaskan dengan lebih dalam ulasan akan datang.
Jam ini selesa di tangan, ia mempunyai tekstur bergetah, tidak begitu berat tetapi cukup merasa beban di tangan. Tetapi jika dibandingkan dengan Amazfit yang mempunyai rekaan lebih nipis, premium dan mempunyai prestasi lebih pantas – Xiaomi dilihat sedikit ceria. Ia lebih kepada penggunaan kasual dan bersahaja berbanding Amazfit siri GTR 2 atau GTS 2 yang lebih ada kelas. Saya lebih gemar dengan antaramuka pada Mi Watch dan rekaan pada Amazfit.

Untuk bateri, Xiaomi menjanjikan ketahanan sehingga 16 hari untuk penggunaan ringan, 22 hari mod penjimatan bateri dan 50 jam penggunaan berat dengan GPS serta pelbagai mod sukan. Semasa menerima jam ini, status bateri adalah 71%. Bateri telah habis selepas empat hari dalam penggunaan yang ringan. Tetapi anda semua akan ketahui lebih dalam ulasan kelak.

Saya menguji jam ini pada iPhone 12 Mini dan ia perlu dihubungkan dengan aplikasi Xiaomi Wear Lite. Aplikasi ini mudah digunakan dan terasa lebih profesional. Jam ini tidak menggunakan aplikasi Mi Fit lagi. Aplikasi baru ini mirip dengan Zepp tetapi dengan rekaan lebih menarik. Sekali lagi saya ulang, ia ceria.
Kesimpulan
Dalam penggunaan sekitar satu minggu ini, Mi Watch memberikan satu pengalaman penggunaan yang sangat menarik. Ia membuatkan hari lebih ceria, kerana antaramuka yang mudah digunakan, fungsi dan ciri menarik serta pelbagai pilihan jam. Xiaomi mengambil langkah yang kurang berisiko dengan memperkenalkan jam ini berbanding jam Wear OS mereka.

Dengan ini, pengguna akan menikmati pengalaman penggunaan yang lebih menarik, pantas serta lancar berbanding Wear OS yang ada serba sedikit masalah yang tidak diduga. Kemudian dengan antaramuka yang kelihatan mirip MIUI For Watch, kelak jika jam Wear OS mereka dilancarkan pengguna akan lebih biasa dan selesa.
Jam ini juga murah, iaitu sekitar RM469 yang mana pada hemat saya cukup berbaloi. Untuk pendapat awal ini, saya akan cadangkan Mi Watch untuk pengalaman penggunaan yang mudah dan ceria dan pilih Amazfit GTR 2/GTS 2 untuk penggunaan lebih premium. Nantikan ulasan kami di masa akan datang untuk ketahui lebih lanjut mengenai bateri, mod sukan dan lain-lain.
Pro
- Prestasi yang menarik dengan perisian yang mudah digunakan
- Rekaan jam yang ceria dengan antaramuka yang berwarna-warni
- Skrin AMOLED yang cantik dan jelas
Kontra
- Rekaan yang tidak begitu premium
- Getaran tidak begitu kuat