Cari @ Amanz

Tiga tahun lalu Autonomous Rail Rapid Transit (ART) dilancarkan di China sebagai pengangkutan awam seakan kereta api tetapi tidak memerlukan rel untuk beroperasi. Gerabak pertama ART kini telah tiba di Johor bagi melakukan ujian melihat kebolehgunannya untuk Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT).

Ujian akan dilakukan pada suku pertama 2021 selepas tergendala tahun lalu akibat serangan wabak Covid-19. Gerabak dihasilkan oleh China Railway Construction Corporation (CRCC) yang sebelum ini menghasilkan gerabak untuk kereta api untuk KTM Intercity.

Keunikan ART ialah ia boleh beroperasi secara swapandu dan hanya memerlukan tanda jalan khas untuk ia kekal di laluan yang betul. Ia juga menggunakan kuasa elektrik untuk beroperasi sekaligus mengurangkan pencemaran di kawasan bandar. Menurut CRCC pengecasan bateri selama 10 minit boleh memberikan jarak operasi sehingga 24 Kilometer.

Seperti kereta api, gerabak ART boleh ditambah mengikut keperluan dengan kapasiti sehingga 309 orang penumpang. Ia mampu bergerak pada kelajuan 70 kilometer sejam dan seorang pemandu boleh ditugaskan memandu bagi meningkatkan keselamatan ketika beroperasi

Setakat ini ia telahpun digunakan di bandar Yibin dengan laluan sepanjang 17 kilometer dengan Pulau Pinang turut menunjukkan minat pada tahun 2018 tetapi projek nampaknya tidak diteruskan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd