NVIDIA Dikatakan Akan Memperkenalkan Semula Kad Grafik GeForce RTX 2060 Dan RTX 2060 Super

NVIDIA Dikatakan Akan Memperkenalkan Semula Kad Grafik GeForce RTX 2060 Dan RTX 2060 Super

Diterbitkan pada Jan 21, 2021 oleh .

Pada penghujung tahun lepas, NVIDIA telah melancarkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 yang dikuasakan cip pemprosesan grafik Ampere.

Ia menjanjikan prestasi gaming yang jauh lebih berkuasa berbanding apa-apa yang mereka lancarkan sebelum ini, tetapi kekurangan bekalan menyebabkannya cukup sukar untuk dibeli.

NVIDIA dijangka akan melancarkan kad grafik GeForce RTX 3060 mereka pada bulan hadapan, yang dijangka akan menjadi kad grafik untuk gaming pada resolusi 1080p yang terbaik di pasaran.

Walaupun begitu, laporan daripada Overclocking.com mengatakan bahawa NVIDIA turut akan memperkenalkan semula siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 dan GeForce RTX 2060 Super untuk mengurangkan isu bekalan kad grafik di pasaran.

Model-model kad grafik tersebut yang sepatutnya sudahpun dihentikan nampaknya terpaksa dimulakan semula, tetapi buat masa ini, masih tiada butiran mengenai keterhadirannya dan juga harga ia akan dijual, khususnya kerana ia dijangka bahawa RTX 3060 akan hadir dengan prestasi yang jauh lebih berkuasa berbanding dengan siri RTX 2060.

Kad-kad grafik siri ini yang akan ditawarkan juga dilaporkan akan dikeluarkan oleh pembuat GPU seperti ASUS, MSI, GIGABYTE dan sebagainya dan bukan Founders Edition oleh NVIDIA.


Paling Popular