Carian
Set Kepala Apple Dijangka Hadir Dengan Harga Premium Seawal 2022 – Membuka Jalan Untuk Kaca Mata Apple
January 21, 2021 Aman

Apple merupakan salah satu syarikat yang tidak asing lagi dalam arena realiti-terimbuh. Mereka telah mempertontonkan sejumlah kandungan dan sokongan untuk kandungan realiti-terimbuh sejak beberapa tahun lepas – yang mana membuka jalan kepada pengenalan set realiti-terimbuh atau kaca mata pintar mereka tersendiri.

Terbaru Bloomberg melaporkan Apple bakal memperkenalkan sebuah set kepala tersendiri terlebih dahulu sebelum hadir dengan kaca mata pintar mereka tersendiri.

Set kepala ini dijangka menawarkan integrasi sokonga kandungan realiti-maya dan juga realiti-terimbuh. Secara kasar, ia akan beroperasi seperti PlayStation VR atau Oculus – dimana pengguna boleh memakainya di kepala, tetapi dengan sejumlah aktiviti terhad.

Set kepala Apple ini dijangka akan berharga lebih tinggi berbanding pesaing tersebut, dan ditawarkan dalam kuantiti yang terhad. Secara kasar, ia diseumpamakan sebagai penawaran Mac Pro daripada Apple pada hari ini – yang agak terhad dan tidak ditujukan kepada orang ramai.

Set kepala ini juga akan menggunakan cip pemprosesan khusus, dan Apple turut melihat untuk membolehkan mereka dengan mata rabun untuk menggunakan lensa preskripsi tersendiri bersama-sama dengan set kepala ini.

Apple dijangka membuka jalan kepada pembangun untuk bersedia dengan penawaran masing-masing sebelum Apple hadir dengan sebuah kaca mata pintar. Sebagai persediaan dan untuk mengujinya, para pembangun boleh mendapatkan set kepala ini, dan mengoptimasikan lagi penawaran masing-masing.

Mengikut laporan, kita mungkin melihat penawaran awal untuk set kepala ini seawal 2022 atau 2023 kelak.

Komen