Google Mungkin Terpaksa Menghalang Enjin Carian Daripada Digunakan Di Australia

Google Mungkin Terpaksa Menghalang Enjin Carian Daripada Digunakan Di Australia

Diterbitkan pada Jan 22, 2021 oleh .

Di Australia, syarikat-syarikat teknologi digital seperti Google dan Facebook sedang bertembung dengan kerajaan negara tersebut, kerana mereka ingin syarikat-syarikat ini untuk membayar syarikat media tempatan untuk berkongsi pautan berita yang hadir pada platform-platform carian tersebut.

Australia baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah undang-undang baru yang dinamakan News Media Bargaining Code. Undang-undang ini akan memaksa syarikat-syarikat seperti Google dan Facebook untuk membayar syarikat-syarikat media ini untuk memaparkan pautan dan cebisan kandungan berita pada enjin carian mereka.

Menurut Google, undang-undang ini mustahil untuk dituruti kerana enjin carian Google menggunakan algoritma organik dan semua carian yang dilihat dipaparkan secara percuma.

Mel Silva, Pengarah Urusan Google Australia mengatakan bahawa jika sesebuah syarikat tidak mahu kandungan ataupun laman web mereka tertera di enjin carian, Google turut memberi pilihan supaya laman web syarikat-syarikat media ini tidak tertera di laman web.

Menurut beliau lagi, pada tahun 2018, Google telahpun membantu menyalurkan trafik kepada laman-laman media di Australia dan membantu mereka menjana sebanyak $218 juta AUD.

Bagi Google, ini adalah satu kerugian yang mereka tidak sanggup tanggung, khususnya kerana di Australia sahaja, terdapat 100-200 nama penerbitan yang boleh diklasifikasikan dibawah nama “media”.

Ia dikatakan bahawa jika undang-undang News Media Bargaining Code ini diteruskan, Google akan dipaksa untuk menghalang enjin carian Google daripada digunakan di negara itu, kerana jika undang-undang ini dituruti, kerisauannya ialah bukan sahaja laman-laman web lain di Australia, malah negara-negara lain juga akan mula meminta Google untuk membayar syarikat media untuk menayangkan pautan mereka di enjin carian tersebut.

Facebook Australia juga mengatakan jika undang-undang ini diteruskan, Facebook akan menghalang pihak media di Australia daripada berkongsi pautan di platform mereka kerana tidak mahu dipersalahkan untuk melanggar undang-undang negara tersebut.


Paling Popular