Cari @ Amanz

Antara platform permeseja yang saya gemar adalah Telegram, kemudian iMessage – tetapi yang saya guna adalah WhatsApp pada setiap hari. Ini menjadikan pengalaman penggunaan kurang memuaskan dan membuatkan saya sendiri jarang buka WhatsApp. WhatsApp jauh ketinggalan di belakang dan Telegram jauh lebih maju. iMessage pula lebih selesa.

Terkini, Eric Migicovsky iaitu pengasas kepada Pebble telah hadir dengan perkhidmatan Beeper. Beeper menawarkan aplikasi untuk Windows, macOS, Android, iOS dan juga Linux. Melalui perkhidmatan ini, Telegram, WhatsApp, SMS, Discord, Slack, Facebook Messenger, Google Hangouts, Skype, Signal, IRC, Twitter termasuk juga Apple iMessage dan banyak lagi boleh digabungkan dalam satu platform dan semua orang boleh balas membalas, membuat carian dan banyak lagi.

Perkara yang mengejutkan adalah sokongan iMessage. iMessage sedia terkenal sebagai platform dengan sumber tertutup, jadi mana-mana integrasi tidak berjaya. Ada kaedah di mana menggunakan Hackintosh ada juga kaedah di mana perlu korbankan seunit Macbook lama. Kini hanya dengan satu perisian dan masukkan nama akaun – selesai.

Beeper dikatakan menggunakan Matrix, iaitu antara platform permesejan terbuka. Beeper menjadi perantara antara semua platform lain. Satu isu yang tidak dijelaskan oleh laman web rasmi Beeper adalah, privasi dan sekuriti. Memandangkan Beeper adalah perantara, bagaimana dengan mesej pengguna?

Beeper adalah satu perkhidmatan berbayar. Setakat 1-2 aplikasi permesejan mungkin tidak berbaloi. Tetapi jika tiga ke atas, mungkin berbaloi. Harga langganan adalah $10, iaitu sekitar RM40.41 sebulan. Beeper juga mungkin akan menawarkan program pemberian iPhone lama kepada pelanggan berbayar untuk membenarkan semua orang menggunakan iMessage.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd