Cari @ Amanz

Razer cukup terkenal dengan penawaran pelbagai peranti dan aksesori permua (permainan mudah alih) yang menarik – ia termasuklah peranti pintar, tetikus, papan kekunci dan sebagainya. Dalam perkembangan terkini, Razer telah melancarkan satu lagi penawaran tetikus baharu menerusi pengenalan Razer Naga X.

Tetikus ini merupakan versi yang ringan dengan berat sekitar 85 gram, di samping turut dilengkapi rekaan yang ergonomik. Seperti produk Razer yang lain, Razer Naga X juga mempunyai sokongan lampu LED Razer Chroma. Sebanyak 16 butang disertakan dan ia boleh diprogramkan mengikut keperluan pengguna bagi membolehkan kawalan lebih pelbagai. Menerusi sokongan Razer Optical Mouse Switches generasi ke-2 pula, suis optikal pada butang klik mengesan input dalam masa 0.2ms.

Spesifikasi lain termasuk – dilengkapi sokongan Razer 5G Advanced Optical Sensor untuk tahap kejituan sehingga 18,000 DPI dan mengesan pecutan sehingga 450 inci sesaat. Seterusnya, ia juga menggunakan tapak yang diperbuat daripada 100 peratus bahan PTFE untuk pengalaman menggerakkan tetikus yang selesa. Di samping, sokongan kabel Razer Speedflex dengan sambungan 1.8m. Bagi yang berminat, Razer Naga X boleh didapati pada harga RM399 menerusi kedai atas talian Razer.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd