Cari @ Amanz

Antara idea bernas yang telah dilakukan sejak rungutan mula dilaporkan ibu bapa mengenai masalah untuk melakukan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ialah JAKIM akan melancarkan saluran khas kelas KAFA di TV Al Hijrah. Kini RTM juga dalam perancangan melancarkan saluran khas untuk PdPR untuk sekolah kebangsaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata RTM sudahpun bersedia untuk melancarkan saluran baru ini kerana pengalaman yang luas mengendalikan TV Pendidikan sejak 1972 hingga 2008. Semasa PKP pertama awal tahun lalu, saluran TV Okey telah digunakan untuk PdPR selama empat jam sehari. Dengan saluran tambahan lebih banyak slot pembelajaran boleh ditayangkan tanpa pelajar menggunakan telefon pintar dan data Internet.

Kandungan saluran akan dihasilkan oleh Kementerian Pendidikan dengan ujian saluran telah berjaya dilakukan. Saluran ini akan diteruskan walaupun selepas tempoh PKP ditamatkan kelak. Sebagai insan yang membesar dengan menonton TV Pendidikan, keputusan menghentikan saluran percuma ini dahulu adalah antara langkah aneh yang dilakukan kerajaan. Kembalinya TV Pendidikan ialah langkah bijak dan diharap dapat dikekalkan kerana akses mendapatkan pendidikan seharusnya percuma untuk semua.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd