Rekaan Baharu Antaramuka Google Search Diperlihatkan

Rekaan Baharu Antaramuka Google Search Diperlihatkan

Diterbitkan pada Jan 23, 2021 oleh .

“Cuba Google” ialah perkataan yang kini biasa digunakan apabila ingin mencari maklumat tertentu. Anak saya yang berusia 6 tahun pun sudah menggunakannya kerana telah dibiasakan sejak baru mengenali peranti. Google Search ialah enjin carian nombor satu dunia kerana paling mudah, pantas dan tepat. Kini Google Search sudah bersedia untuk memperkenalkan antaramuka baharu yang lebih mesra peranti mudah alih.

Perubahan antaramuka yang dilakukan mengambil inspirasi dari Material Design yang digunakan pada Android 11. Perubahan paling ketara ialah kesemua kotak pada carian mempunyai bucu yang lebih bulat. Imej kecil yang dipaparkan turut dibulatkan berbanding sebelum ini yang berbucu tajam. Dengan warna, pengguna dapat mengetahui elemen menu yang boleh ditekan.

Sebagai contoh apabila maklumat mengenai ikan paus dipaparkan, sub menu seperti bunyi, video dan penerangan kini diletakkan di dalam menu berwarna biru. Perubahan reka huruf yang kini lebih tebal juga diperkenalkan untuk memudahkan pembacaan pada skrin peranti dan membezakan menu dari carian.

Akhir sekali ruang yang lebih besar di antara keputusan carian juga diperkenalkan sekali lagi untuk memudahkan proses membaca. Antaramuka terbaru Google Search ini akan diperkenalkan dalam masa beberapa hari sahaja lagi.


Paling Popular