Cari @ Amanz

Dengan pelancaran Samsung Galaxy S21, S21+ dan S21 Ultra dua minggu lalu, era cip pemproses 5nm Samsung bermula kerana ketiga-tiganya dilengkapi cip Exynos 2100. Cip ini di atas kertas adalah lebih berkuasa berbanding Exynos 990 tahun lalu yang menerima kritikan hebat. Persoalan yang pasti berbuku di hati peminat teknologi di Malaysia pastinya adakah Exynos 2100 mampu menandingi cip terbaik sebelum ini iaitu Apple A14 Bionic. Peranti yang digunakan untuk ujian adalah seperti di bawah.

  1. Exynos 2100 – Samsung Galaxy S21 Ultra
  2. Apple 14 Bionic – Apple iPhone 12 Pro Max
  3. Qualcomm Snapdragon 865+ -Asus ROG Phone 3
  4. Apple A13 Bionic – Apple iPhone 11 Pro Max
  5. Qualcomm Snapdragon 865 – Black Shark 3 Pro

Kesemua ujian dilakukan beberapa kali dengan markah tertinggi diambil. Sebuah sistem penyejuk Black Shark digunakan pada kelima-lima peranti untuk memastikan cip berfungsi pada suhu yang paling optimum.

Kita memulakan dengan ujian Antutu 3D V 8.4.3 pada peranti Android dan Antutu 3D V 8.3.6 pada peranti iOS. Dalam ujian ini keputusan yang dicatatkan adalah seperti di bawah.

  1. Samsung Exynos 2100 – 631,702 markah
  2. Apple A14 Bionic – 667,807 markah
  3. Qualcomm Snapdragon 865+ – 650,975 markah
  4. Apple A13 Bionic – 530,158 markah
  5. Qualcomm Snapdragon 865 – 554.232 markah

Markah yang dicatatkan oleh Exynos 2100 adalah lebih rendah berbanding Appl A14 Bionic dan Snapdragon 865+. Ini adalah keputusan yang tidak dijangkakan langsung. Exynos 2100 dapat mengalahkan Apple A13 Bionic dan Snapdragon 865. Perbezaan markah yang dicatatkan di antara Exynos 2100 dan Apple A14 Bionic hanyalah 5.7%. manakala dengan Snapdragon 865+ pula ialah 3.05%. Bukanlah perbezaan yang besar sebenarnya.

Keputusan yang sama dilihat dalam ujian Geekbench 5.2.5. Exynos 2100 sekali lagi tewas kepada Apple A14 Bionic tetapi berjaya pula menewaskan Snapdragon 875+.

  1. Samsung Exynos 990 – 1066/3345 markah
  2. Apple A14 Bionic – 1598/3971 markah
  3. Qualcomm Snapdragon 865+ – 1006/3341 markah
  4. Apple A13 Bionic – 1332/3480 markah
  5. Qualcomm Snapdragon 865 – 903/2949 markah

Perbezaan markah yang dicatatkan ialah 33% dalam ujian satu teras dan 18.7% pula dalam ujian multi-teras. Menarik juga Apple A13 Bionic berjaya mengalahkan Exynos 2100.

Apple A14 Bionic kekal sebagai pemproses paling berkuasa di pasaran pada waktu ini. Adakah cip untuk Android yang akan mampu menumpaskannya? Snapdragon 888 sebenarnya mempunyai konfigurasi teras yang sama dengan Exynos 2100 iaitu 1+3+4 tetapi beroperasi pada kelajuan yang lebih rendah. Oleh itu kebarangkalian ia menumpaskan Apple A14 Bionic adalah agak rendah.

Kini kami perlu menantikan Xiaomi Mi 11 di Malaysia kelak kerana ia adalah yang pertama di dunia dengan cip Snapdragon 888. Apabila ini berlaku, kami akan melakukan ujian penanda aras sekali lagi untuk melihat prestasi sebenarnya kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd