Huawei sebelum ini sedia menjual Honor untuk beroperasi sebagai syarikat berasingan yang bebas daripada mereka. Terbaru, Reuters melaporkan yang mana Huawei turut sedang dalam perbincangan awal untuk menjual jenama telefon pintar siri P dan juga Mate kepada pengeluar lain.
Langkah ini sekaligus akan melihat langkah awal untuk Huawei keluar daripada industri pengeluaran telefon pintar kelak.

Ia diperkatakan Huawei telah membincangkan untuk menjual jenama siri P dan Mate ini sejak daripada bulan September lepas. Apa pun, pengeluar dari China berkenaan masih belum membuat keputusan penuh berkaitan dengan perkara ini.
Mengikut sumber dalaman, Huawei dijangka akan menjualnya kepada sebuah konsortium yang diterajui firma pelaburan kerajaan dan juga pengedar peranti – lebih kurang seperti yang dilakukan untuk jenama Honor sebelum ini. Huawei juga mungkin mengekalkan pasukan pengurusan Mate dan P sedia ada ke entiti baru – sekiranya ia dijual.
Pihak Huawei tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi, dan menafikan berkenaan perkara ini.
Langkah penjualan siri peranti ini dikatakan adalah salah satunya disebabkan kesukaran mendapatkan cip untuk meneruskan pengeluaran peranti.

Dengan mengasingkannya, siri peranti ini dijangka akan dapat diteruskan. Sebelum ini, Honor telah diasingkan, dan kini boleh membeli kembali komponen daripada pengeluar – termasuk pihak Qualcomm.
Siri Huawei P dan Mate adalah antara siri peranti premium, yang sering mengalahkan pelbagai peranti pengeluar lain, dari segi penawaran, kamera dan sebagainya. Sekiranya diasingkan, tidak mustahil kita melihat ia memberikan cabaran semula kepada pihak Samsung dan Apple.
Pada masa yang sama, perbincangan penjualan ini juga memberikan petanda yang mana pentadbiran baharu Amerika mungkin tidak mengubah halangan dagangan yang telah dikenakan terhadap Huawei ini.