Cari @ Amanz

Komputer-komputer riba yang dikuasakan siri CPU Intel terbaru, Tiger Lake nampaknya sudah mula memenuhi pasaran tempatan. HP tidak ketinggalan, dan mereka hari ini telah mengumumkan bahawa siri komputer riba produktiviti premium mereka, HP Spectre x360 sudahpun hadir di pasaran tempatan.

Seperti yang sedia maklum, siri komputer riba Spectre x360 ini ialah komputer riba boleh-pusing dimana bahagian engsel paparan boleh dipusing 360 darjah dimana komputer riba ini boleh kemudiannya digunakan sebagai sebuah tablet.

Siri HP Spectre x360 tiba dengan dua model, iaitu HP Spectre x360 13 dan HP Spectre x360 14. Seperti yang tertera pada nama model-model ini, Spectre x360 13 hadir dengan paparan OLED sesentuh bersaiz 13.3 inci dengan resolusi Full HD, manakala Spectre x360 14 mempunyai paparan sesentuh 13.5 inci menggunakan teknologi FPR (Film-type Patterned Retarder) yang hadir dengan penuras privasi terbina.

Dari segi spesifikasi dalaman, kedua-dua model komputer riba ini hadir dengan pilihan CPU Intel Core i5-1135G7 ataupun Intel Core i7-1165G7, memori DDR4 8GB ataupun 16GB bergantung kepada pilihan CPU, bersama-sama storan SSD PCIe sebesar 1TB. Dari segi pemprosesan grafik pula, Spectre x360 ini dilengkapi dengan cip grafik Intel Iris Xe terbina.

Satu lagi keunikan HP Spectre x360 ialah ia hadir dengan ketebalan 1.69cm sahaja, menjadikannya diantara komputer riba produktiviti yang cukup nipis sekali dan mudah dibawa kemana-mana.

Oleh kerana komputer riba ini juga dikuasakan CPU Intel Tiger Lake, ia turut hadir dengan sejumlah ciri-ciri baru, seperti WiFi6 dan juga sokongan untuk Thunderbolt 4.

HP Malaysia telah mengesahkan bahawa komputer riba HP Spectre x360 13 dan Spectre x360 14 ini sudahpun memasuki pasaran tempatan dan boleh dibeli pada harga permulaan RM5699 untuk model Spectre x360 13 dan RM6099 untuk model Spectre x360 14.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd