Walaupun cip pemprosesan MediaTek Dimensity 1000+ sudah lama dilancarkan, iaitu sekitar tahun lepas – peranti yang dijana dengan cip ini agak terhad. Baru-baru ini Realme melancarkan Realme X7 Pro dengan cip ini dan dijual pada harga RM1,999. Bagi yang tidak tahu, cip Dimensity siri 1xxx atau untuk 1000 dan 1000+ ia adalah cip pemprosesan peranti mercu yang bersaing dengan Qualcomm Snapdragon 865 dan 865+. Cip MediaTek seringkali dikutuk dan dikecam, tetapi jika anda perasan sejak kebelakangan ini MediaTek menjadi semakin hebat. Persoalannya, mampukah cip ini bersaing dengan Snapdragon 865/865+ atau cip yang terhebat sebelum ini Apple A14 Bionic?
- MediaTek Dimensity 1000+ – Realme X7 Pro
- Qualcomm Snapdragon 865+ -Asus ROG Phone 3
- Apple 14 Bionic – Apple iPhone 12 Mini
- Qualcomm Snapdragon 865 – Mi 10T Pro
- Apple A13 Bionic – Apple iPhone 11 Pro Max

Kesemua ujian dilakukan beberapa kali dengan markah tertinggi diambil. Kami menguji setiap peranti ini dalam keadaan yang lebih kurang sama, iaitu untuk cip berfungsi pada suhu yang paling optimum.
Kita memulakan dengan ujian Antutu 3D V 8.5.3 pada peranti Android dan Antutu 3D V 8.3.7 pada peranti iOS. Dalam ujian ini keputusan yang dicatatkan adalah seperti di bawah.
- MediaTek Dimensity 1000+ – 509,498 markah
- Qualcomm Snapdragon 865+ – 650,975 markah
- Apple A14 Bionic – 621,101 markah
- Qualcomm Snapdragon 865 – 577,190 markah
- Apple A13 Bionic – 530,158 markah
Markah yang diperoleh MediaTek Dimensity 1000+ adalah lebih rendah berbanding semua cip pemprosesan di atas. Dakwaan MediaTek mengenai cip ini bersaing dengan Snapdragon 865 mungkin kerana skor yang tercapai adalah dalam lingkungan 500k. Dalam senarai ini, Dimensity 1000+ berada di tangga terakhir. Walaupun begitu dalam penggunaan harian setakat ini, kami masih tidak rasakan sebarang masalah, lengah masa atau isu prestasi. Boleh jadi skor yang rendah ini adalah kerana masalah perisian dan ada isu di sebalik pengurusan memori.

Keputusan yang lebih kurang sama dilihat dalam ujian Geekbench 5.2.5. Dimensity 1000+ sekali lagi tewas dengan semua pesaing. Malah, Snapdragon 865 sahaja MediaTek tidak dapat mengejarnya.
- MediaTek Dimensity 1000+ – 766/2758 markah
- Qualcomm Snapdragon 865+ – 1006/3341 markah
- Apple A14 Bionic – 1606/4138 markah
- Qualcomm Snapdragon 865 – 908/3272 markah
- Apple A13 Bionic – 1332/3480 markah
Walaupun cip Apple A13 Bionic sudah berusia dua tahun, ia masih berbisa dan lebih tinggi skornya daripada Snapdragon 865+. Apple A14 Bionic kekal sebagai pemproses paling berkuasa di pasaran pada waktu ini. Bila agaknya cip Apple boleh ditewaskan oleh cip yang digunakan pada peranti Android? Laporan di beberapa laman web turut memperlihatkan A14 lebih berkuasa. Snapdragon 888 pada Oppo Find X3 ada tertiris, memperlihatkan skor mencapai 700k, adakah itu gimik atau benar?
Kini kami perlu menantikan Xiaomi Mi 11 di Malaysia kelak kerana ia adalah yang pertama di dunia dengan cip Snapdragon 888. Apabila ini berlaku, kami akan melakukan ujian penanda aras sekali lagi untuk melihat prestasi sebenarnya kelak.