Tahun lalu lebih 200 aplikasi dari China telah diharamkan oleh kerajaan India kerana didakwa mengancam keselamatan negara. Pada waktu tersebut aplikasi yang diharamkan akan dibenarkan semula diakses pengguna sekiranya perubahan dilakukan kepada cara data dikumpul dan digunakan.
Tetapi menurut Times of India, kini 59 dari aplikasi ini telah diharamkan terus selama-lamanya dari ditawarkan di India. Antara yang tersenarai ialah TikTok, WeChat, Bigo, UC Browser dan Mi Call. Pengharaman kekal ini diambil selepas Kementerian Teknologi Maklumat India tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan pembangun mengenai bagaimana data dikumpul dan digunakan.
Selepas pertelagahan di antara pihak tentera India dan China tahun lalu, seksyen 69A Akta Teknologi Maklumat telah digunakan India bagi menghalang aplikasi dari China ditawarkan di negara mereka. Xiaomi misalnya terpaksa mengeluarkan kemas kini sistem operasi kerana aplikasi yang diharamkan diberikan secara terpasang.